Lionel Messi akan menarik peminat untuk datang ke stadium walaupun wujud kerisauan mengenai penjualan tiket untuk aksi Piala Super Sepanyol di Arab Saudi, kata Juan Antonio Pizzi.

Wujud laporan mengatakan bahawa tiket yang diagihkan untuk jualan buat empat kelab -- Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid dan Valencia -- telah dijual menjelang aksi pembukaan awal pagi tadi.

Aksi pertama saingan itu dimulakan dengan pertemuan Real Madrid dan Valencia awal pagi tadi yang menyaksikan skuad kendalian Zinedine Zidane itu menang 3-1 sebelum Barcelona melakukan perhitungan dengan Atletico, awal pagi esok.

Pizzi -- yang pernah beraksi buat Barca pada tahun 1996 hingga 1998 dan mengendalikan skuad kebangsaan Arab Saudi -- yakin venue tetap akan penuh dalam setiap perlawanan.

"Saya tidak meraguinya," katanya kepada Marca.

"Mereka sedar betapa besar nilainya apabila empat pasukan gergasi Sepanyol dan terbaik dunia beraksi. Ia sesuatu yang luar biasa.

"Anda perlu ingat bahawa Messi ada di situ, seorang pemain yang mereka kenali dan minat. Jadi, untuk menyaksikannya di atas padang merupakan satu perkara besar buat mereka.

"Mereka memenuhkan padang dan sayangkan sukan ini. Tahapnya masih belum sama seperti di Eropah dan mereka tahu tentangnya. Sebab itu mereka melaburkan wang yang banyak dan mengikuti perkembangan bola sepak Eropah.

"Setiap minggu mereka menyaksikan LaLiga, Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga."



Editor: Nafis Abdullah