Philippe Coutinho memuji aksi rakan sepasukannya, Ousmane Dembele, selepas membantu Barcelona menewaskan Malaga, awal pagi tadi.

Dembele diletakkan dalam kesebelasan utama ekoran ketiadaan tonggak utama, Lionel Messi, yang terpaksa direhatkan bagi meyambut kelahiran cahaya mata ketiga bersama isterinya.

Kombinasi Dembele dan Coutinho tampak menjadi apabila pemain sayap Perancis itu membuka ruang buat bintang Brazil itu untuk menguis masuk gol kedua Barca di tempat lawan.

Keadaan itu pantas mengundang pujian daripada Coutinho selepas Dembele terlepas peringkat awal musim ini dan bergelut dengan masalah kecederaan lutut.

“Saya sering berpendapat bahawa Dembele merupakan pemain bola sepak yang hebat. Dia membuktikannya pada hari ini dengan aksi cemerlang.

“Messi adalah pemain terbaik di dunia dan tentunya kami merasai ketiadaannya di atas padang walaupun faham akan komitmen yang dihadapinya bersama keluarga.

“Kami mengucapkan tahniah untuknya dan dia akan kembali bersama pasukan dalam perlawanan selepas ini,” kata Coutinho.

Barca bakal melayani kehadiran Chelsea bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Khamis dan bekalan satu gol yang dibawa dari Stamford Bridge sebelum ini sudah pasti mampu membantu anak-anak buah Ernesto Valverde.