PACOS DE FERREIRA 1 TOTTENHAM 0

Tottenham perlu berusaha lebih keras dalam playoff pusingan kelayakan Liga Persidangan Europa (UECL) selepas tewas 0-1 kepada Pacos de Ferreira dalam perlawanan pertama di Estadio Capital do Movel awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Nuno Espirito Santo itu melakukan 11 pertukaran berbanding ketika menewaskan Manchester City dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, di mana Harry Kane sekali lagi tidak terlibat, dan jelas mempamerkan prestasi buruk dalam pertemuan kali ini.

Lucas Silva memecahkan kebuntuan buat pasukan tuan rumah dari Portugal itu pada minit ke-45 dan pasukan kendalian Nuno, yang membariskan lima pemain yang melakukan penampilan pertama dalam perlawanan itu, bergelut untuk memberikan respons yang sepatutnya.

Tottenham gagal mendaftarkan sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit dan kini perlu bekerja keras bagi mengelakkan penyingkiran awal di peringkat Eropah menjelang perlawanan timbal balik di London minggu depan.

Spurs bermula baik dengan Bryan Gill diletakkan di posisi yang menarik tetapi mereka gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dan ketinggalan sebelum waktu rehat.

Pasukan tuan rumah itu membina momentum menyerang mereka dan Lucas Silva dengan tenangnya menolak masuk bola melepasi penajaga gol, Pierluigi Gollini, selepas menerima lorongan daripada Nuno Santos.

Pacos, yang menduduki tangga kelima Liga Primeira musim lalu, diberikan sedikit tekanan dalam babak kedua tetapi penguasaan bola milik Spurs gagal diterjemahkan kepada sebarang percubaan tepat.