CELTIC 1 MIDTJYLLAND 1

Perlawanan kompetitif pertama Ange Postecoglou selaku ketua jurulatih Celtic berakhir dengan diikat Midtylland 1-1 dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di laman sendiri awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan pasukan The Bhoys itu perlu melakukan sesuatu yang jauh lebih baik dalam perlawanan kedua di gelanggang lawan.

Celtic gagal merekodkan kejuaraan ke-10 berturut-turut dalam Liga Scotland sebaik dominasi mereka ditamatkan oleh Rangers musim lalu.

Ia bermakna, mereka perlu bermula dalam pusingan kedua kelayakan UCL musim ini.

Dan Midtylland -- naib juara Liga Denmark musim lalu -- terbukti bukan lawan yang mudah untuk ditundukkan dalam saingan peringkat awal itu.

Celtic terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain muda Israel, Leil Abada, pada minit ke-39 tetapi Nir Button dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-44 susulan tindakan luar kawalannya mengasari Anders Dreyer, yang terlebih dahulu dilayangkan kad kuning kerana melakukan simulasi.

Namun, nasib baik Dreyer tidak kekal lama apabila pengadil, Sandro Scharer, melayangkan satu lagi kad kuning buatnya gara-gara satu lagi simulasi dalam kawasan penalti pada minit ke-56.

Bagaimanapun, sepakan percuma yang diambil Evander pada minit ke-66 berhasil menembusi gawang Vasilios Barkas, untuk memastikan keputusan seri dalam perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan berkenaan akan kembali bertemu di Denmark awal pagi Khamis depan, di mana undang-undang gol di laman lawan tidak lagi diguna pakai.