Kekalahan kepada Vietnam disifatkan Irfan Bakti Abu Salim sebagai paling merugikan skuad negara dalam kempen pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jurulatih Kuching FA itu menyeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap kekuatan Malaysia masih lagi seimbang dengan seteru Asia Tenggara yang lain tetapi pendekatan permainan menyebabkan Harimau Malaya terjerat untuk menamatkan kempen Kumpulan G itu di tangga ketiga sebaik menutup kempen dengan mengalahkan Thailand menerusi kemenangan tipis 1-0 di Stadium Al-Maktoum , awal pagi tadi.

"Ia satu keputusan yang baik. Walaupun dalam tekanan, mereka masih dapat bermain untuk mencapai kemenangan.

"Sebenarnya perlawanan dengan Vietnam paling merugikan.

"Sekiranya kakitangan Tan Cheng Hoe dapat menyusun pemain, pendekatan untuk menghadapi Vietnam dengan baik (sudah pasti skuad negara tidak tewas) kerana dua gol yang mereka hasilkan adalah menerusi bola pegun.

"Kita seimbang dengan Vietnam dan boleh mengutip mata ketika bertemu mereka," katanya dalam temu bual di Nadi Arena, sebentar tadi.

Malah, jurulatih berpengalaman itu menyangkal persiapan singkat antara punca Malaysia hilang momentum ketika meneruskan baki saingan Kumpulan G di Dubai itu.

"Selepas mengalami kekalahan dalam dua perlawanan persahabatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), jika dengan pemilihan yang baik terhadap kesebelasan terbaik, penelitian yang betul mungkin keputusan sebaliknya.

"Permainan Vietnam tidaklah sehebat mana, Malaysia mampu menandinginya.

"Apapun, ia satu pendekatan yang baik untuk terus ke depan.

"Kalau pemain naturalisasi itu berkelayakan tidak mengapa. Tapi kalau setakat jadi penumpang (tidak perlulah).

"Ketika bertemu Thailand pemain tempatan beraksi dengan baik, ini satu ujian dan pengajaran," katanya.






Sambungnya lagi: "Tapi kalau pemain asing -- saya panggil pemain asing teruslah -- harus dilakukan dengan sebaik-baiknya. Jangan main tangkap muat sahaja sebab ini untuk mewakili negara.

"Mereka bermain dalam liga negara kita.

"Kalau Dion Cools boleh bermain dengan baik, baru sampai tiga hari sahaja macam mana pula dengan Liridon (Krasniqi).

"Dia tidak aktif di Australia (dalam Liga A) sebab itu dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan pasukan sementara (Guilherme) De Paula pula tidaklah seberapa sangat, jadi perlukan penelitian yang baik.

"Saya rasa persiapan tidak singkat berbanding kalau di Eropah. (Mereka mempunyai tempoh) dua minggu sahaja (untuk melakukan persiapan).

"Kita lebih daripada itu sebenarnya."

Selepas pusingan kedua kelayakan itu beberapa kali tertangguh berikutan COVID-19, Irfan Bakti tidak menolak Harimau Malaya kehilangan momentum selepas memberikan cabaran hebat pada 2019.

"Mengapa tidak mempersiapkan kekuatan mental.

"Saya rasa sedikit kesilapan apabila Malaysia mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan yang kuat iaitu menentang Kuwait dan Bahrain.

"Mengapa tidak aturkan perlawanan yang Malaysia boleh menang demi memotivasi pemain untuk perlawanan sebenar, mengambil kesempatan menerapkan taktikal terbaik."