ENGLAND 20 LATVIA 0

Ellen White menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman England selepas meledakkan hatrik ketika pasukan itu membelasah Latvia 20-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Wanita awal pagi tadi.

Penyerang Manchester City itu, yang melakukan penampilannya yang ke-101 di peringkat antarabangsa, menyamai rekod 46 gol milik Kelly Smith menerusi jaringan awalnya pada minit keenam di Stadium Keepmoat.

White, yang mencapai jumlah itu dengan kurang 16 perlawanan berbanding Smith, mencipta sejarah baru berselang tiga minit kemudian sebelum meledakkan gol ketiganya -- salah satu daripada empat hatrik yang terhasil buat England dalam perlawanan itu -- selepas waktu rehat.

Pemain berusia 32 tahun itu kini merekodkan 48 gol buat The Lionesses dengan purata hampir satu gol bagi setiap satu perlawanan kompetitif.

Kemenangan ke atas Latvia itu juga menyaksikan England mengatasi rekod kemenangan terbesar yang sebelum ini dilakukan dengan keputusan 13-0 ke atas Hungary pada Oktober 2005.

Secara keseluruhan, England, yang merekodkan jaringan dua angka buat kali ke-10 sejak penubuhan pasukan itu pada 1972, memiliki 10 penjaring berbeza dalam dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Latvia dan merekodkan 121 percubaan tanpa balas berdasarkan data yang dikumpulkan Opta.

Pasukan itu kekal berada di tangga teratas peringkat kumpulan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dengan rekod bersih enam kemenangan daripada enam perlawanan dan menjaringkan 53 gol tanpa dibolosi sebarang jaringan.

Sebagai rekod, White juga merupakan penjaring gol kedua terbanyak dalam sejarah Liga Super Wanita dengan 58 gol daripada 126 perlawanan sepanjang mewakili Arsenal, Notts County, Birmingham dan Manchester City.