Louis van Gaal gusar mengenangkan Georginio Wijnaldum tidak banyak waktu permainan di Paris Saint-germain (PSG) menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia buat Belanda bulan ini.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai gergasi Ligue 1 berkenaan secara perpindahan percuma pada Jun lalu selepas gagal mencapai kesepakatan baru bersama Liverpool, di mana dia menghabiskan lima musim sebelum itu.

Selepas bermula sebagai pilihan utama di bawah kendalian Mauricio Pochettino pada awal musim ini, Wijnaldum kemudian kehilangan tempatnya kepada Idrissa Gueye.

Dia hanya memulakan separuh daripada 12 perlawanan PSG sejak menyertai pasukan itu dan dimasukkan sebanyak lima kali selaku pemain gantian.

Rekod 502 minit permainannya musim ini hanya berada di posisi 12 terbanyak dalam kalangan pemain PSG dalam semua kejohanan musim ini, di mana Gueye dan Ander Herrera memiliki rekod yang lebih baik di bahagian tengah.

Bagaimanapun, walaupun gusar dengan situasi Wijnaldum di Parc des Princes, Van Gaal memilih untuk kekal setia menggunakan khidmat naib kapten pasukannya itu.

"Sudah pasti saya gusar," katanya dala sidang media menjelang perlawanan menentang Latvia dan Gibraltar minggu depan.

"Saya sudah bercakap dengannya sebaik dia tiba di sini. Tetapi ia belum di tahap yang membimbangkan. Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap sesetengah pemain.

"Anda pasti ingat apabila saya menyenaraikannya dalam Piala Dunia 2014 ketika dia masih cedera. Saya memulakan kempen dengan menggunakan (Jonathan) De Guzman tetapi Wijnaldum kemudian mengambil alih dan melakukan tugasnya dengan amat baik," katanya.

Wijnaldum digantung daripada perlawanan menentang Latvia pada ketika Belanda sedang memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi Kumpulan G.

Skuad kendalian Van Gaal itu kini berada di tangga teratas dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan berbanding Norway menjelang perlawanan dengan Latvia sebelum bertemu Gibraltar tiga hari kemudian.

"Waktu rehat kali ini agak tenang. Sebelum ini, ia hampir mustahil untuk bermain tiga perlawanan.

"Kami bermain dalam tiga perlawanan itu dengan pasukan baru, pengurus baru dan staf baru.

"Saya perlu meyakinkan semua orang tentang perancangan saya, kesemuanya hanya dalam masa satu setengah hari. Kami kemudian hanya memiliki waktu rehat sehari setengah di antara setiap perlawanan," tambahnya.