MONTENEGRO 2 BELANDA 2

Virgil van Dijk gusar dengan persembahan separuh masa kedua Belanda yang terlepas peluang untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia berikutan seri 2-2 dengan Montenegro.


The Oranje sedar kemenangan di Stadium Podgorica City, awal pagi tadi, itu akan mengesahkan tempat teratas Kumpulan G selain membuka pintu ke Qatar tahun depan ekoran Norway seri tanpa jaringan dengan Latvia dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Misi mereka tampak mampu dicapai apabila Memphis Depay menggandakan kelebihan mereka dalam awal babak kedua selepas terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti.

Begitupun, Montenegro menyumbat dua gol dalam lapan minit terakhir sekali gus mengejutkan pasukan kendalian Louis van Gaal itu yang menyaksikan Ilija Vukotic memperdayakan Justin Bijlow disusuli lonjakan tinggi pemain gantian, Nikola Vujnovic, bagi mengatasi Daley Blind.

Skuad Oranje akan menghadapi perlawanan getir terakhir kumpulan menentang pasukan di tempat ketiga, Norway, Rabu depan, sambil berada di depan Turki dengan dua mata.

Van Dijk kemudian menawarkan penilaian yang jujur ​​dan pedas tentang kegagalan pasukannya memuktamadkan kemaraan itu.

Pertahanan Liverpool itu memberitahu NOS: "Bagaimana kami bermain dalam separuh masa kedua adalah memalukan. Kami mahu menguasai bola, kami semua mahu bermain bola sepak, menyerang dan menjaringkan gol.

"Tetapi kami perlu pastikan bahawa kami juga perlu memikirkan aspek bertahan. Ruang telah diberikan untuk pihak lawan melancarkan serangan balas. Jika anda tidak mempunyai organisasi yang betul. Ia akan menjadi amat mengerikan."



Dalam masa sama, ketua pasukan itu menegaskan tiada alasan untuk mereka tidak menjuarai peringkat kumpulan yang berbaki satu perlawanan.

Menurutnya lagi: "Hari ini kami patut mengesahkan kelayakan. Kami menghormati Montenegro tetapi sebagai Belanda, kami perlu menang di sini.

"Lebih-lebih lagi jika anda mendahului 2-0. Mungkin kami menjadi agak malas. Kami perlu membincangkannya dengan teliti. Ia hanya akan menjadi kenyataan di stadium kosong pada Selasa (awal pagi Rabu depan).

"Kami akan membuat persediaan yang baik. Kami tetap percaya dengan kemampuan kami dan akan mencurahkan segala-galanya. Tetapi kami patut meraih keputusan yang lebih baik dari malam ini."

Belanda tidak pernah mensia-siakan pendahuluan 2-0 dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak pertembungan dengan Republik Czech dalam Euro 2004.

Depay muncul penjaring terbanyak kempen kelayakan Piala Dunia zon Eropah dengan 13 gol.

Penyerang Barcelona itu telah menyumbangkan 37 gol buat negaranya untuk berada di kedudukan keempat di samping Dennis Bergkamp dan Arjen Robben.