Kelayakan Piala Dunia: Trent Alexander-Arnold akui bergelut sebagai pemain tengah England

Shaiful Shamsudin
September 7, 2021 00:17 MYT
Trent Alexander-Arnold mengakui bergelut memainkan peranan di bahagian tengah ketika England menentang Andorra dalam kelayakan Piala Dunia semalam.
Bintang Liverpool itu menjadi aset utama buat skuad kendalian Jurgen Klopp di bek kanan yang menyaksikan Alexander-Arnold di samping pertahanan kiri, Andrew Robertson, untuk naik menyerang.
Namun, dengan kehadiran Reece James, Kieran Trippier dan Kyle Walker merebut untuk kesebelasan skuad England, Southgate sebaliknya mengisi Alexander-Arnold -- yang telah mencatatkan 40 bantuan jaringan dalam semua perlawanan sejak awal 2018-19 -- di bahagian tengah.
Pemain berusia 22 tahun itu mencatat ketepatan hantaran setinggi 81 peratus dalam separuh masa pertama, kemudian meningkat menjadi 87.1 peratus pada akhir perlawanan selepas diberi peranan di sayap kanan.
Dia juga menghasilkan enam hantaran silang dan dua hantaran berbahaya tetapi mengakui tidak selesa.
"Ini peranan baru bagi saya, sedikit berbeza, saya rasa banyak persoalan yang timbul sama ada saya mampu atau tidak untuk beraksi di posisi itu dan terdapat banyak pendapat yang disuarakan selama beberapa minggu terakhir," kata Alexander-Arnold kepada talkSPORT.
"Ini adalah satu percubaan oleh pengurus tetapi sukar bagi saya, saya berasa jauh lebih sukar untuk menerima bola di posisi itu.
"Tetapi sama ada saya bermula di sana atau bermula di pertahanan kanan, saya fikir secara semula jadi saya akan menyusup bahagian tengah, mendapatkan bola dan mampu mempengaruhi perlawanan.
"Satu-satunya perbezaannya di posisi tengah ialah agak sukar untuk saya mencari ruang.
"Separuh masa kedua kami mengubah sedikit sistem permainan, oleh itu saya dapat lebih banyak ruang dan masa untuk mengawal bola dan mendapatkan kedudukan yang hampir sama ketika beraksi di bahagian tengah."
#kelayakan Piala Dunia #Piala Dunia 2022