Switzerland menepati janji dan berterima kasih kepada Ireland Utara kerana membantu mereka layak Piala Dunia dengan menghantar coklat kepada pasukan itu.

Switzerland menyiarkan satu video ke media sosial yang menunjukkan ketua jurulatih, Murat Yakin, membuka beberapa kotak coklat untuk dihantar ke Belfast.

Ia sebagai tanda terima kasih mereka atas keputusan seri tanpa jaringan Ireland Utara dengan Itali dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia Eropah dan dengan kemenangan 4-0 Switzerland ke atas Bulgaria, anak buah Yakin mengesahkan tempat mereka ke pusingan akhir di Qatar pada 2022.

Skuad kendalian Ian Baraclough itu akan menerima 9.3 kilogram coklat Switzerland sebagai pengiktirafan menghalang juara Eropah berkenaan daripada menjaringkan gol selama 93 minit.

Switzerland sebelum ini berjanji akan memberi hadiah itu ketika meraikan kemaraan mereka di hotel penginapan di Lucerne, di mana mereka menyanyikan Sweet Caroline, lagu hit yang dinyanyikan Neil Diamond pada 1969 yang telah diangkat sebagai nyanyian tema untuk pasukan Ireland Utara.




Pasukan yang mara ke suku akhir Euro 2020 itu mengikat Azzuri 1-1 yang menyaksikan Jorginho gagal menyempurnakan sepakan penalti minit ke-90.

Keputusan itu memastikan Switzerland menamatkan saingan dengan kelebihan dua mata di puncak Kumpulan C.

Sementara itu, Itali, perlu bersaing dalam play-off di samping Portugal, Sweden, Wales dan Russia dengan undiannya akan berlangsung esok.