HUNGARY 0 ENGLAND 4

England meraih kemenangan dalam perlawanan pertama pasca Euro 2020 dengan menewaskan Hungary 4-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 awal pagi tadi.

Gol daripada Raheem Sterling, Harry Kane, Harry Maguire dan Declan Rice memastikan The Three Lions kemenangan keempat daripada empat perlawanan dalam kempen itu, sekali gus membuktikan mereka sudah melupakan kekalahan kepada Itali di Stadium Wembley, Julai lalu.

Dengan hanya sedikit perubahan berbanding skuad yang tewas dalam penentuan penalti itu -- Jack Grealish menggantikan Kieran Trippier -- England mendominasi aksi di Budapest tetapi memerlukan masa yang agak panjang untuk memecahkan kebuntuan.

Sterling memanfaatkan peluangnya pada awal babak kedua dan pasukan kendalian Gareth Southgate berkenaan kelihatan jauh lebih selesa selepas itu tetapi perlawanan berkenaan dicemari dengan insiden penyokong tuan rumah membaling objek ke arah padang ketika England meraikan kemenangan mereka untuk kini berkelebihan lima mata di tangga teratas Kumpulan I.

England perlu menunggu sehingga minit ke-50 untuk memperoleh peluang terbaik, di mana Kane tidak dapat menyudahkan hantaran Kyle Walker melepasi penjaga gol, Peter Gulacsi

Tetapi pelawat akhirnya membuka jaringan apabila Sterling merembat masuk hantaran 'cutback' Mason Mount ke penjuru kanan bawah gawang lawan.

Dan keadaan semakin memburuk buat Hungary apabila Sterling melepaskan hantaran lintang untuk ditanduk masuk Kane pada minit ke-63.

Gulasci selepas itu dibolosi sebanyak dua kali lagi, kali ini menerusi tandukan Maguire pada minit ke-69 dan penyudah Rice pada penghujung permainan.