SEPANYOL 4 GEORGIA 0

Luis Enrique gembira dengan tindak balas Sepanyol selepas tumbang kepada Sweden dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Georgia, sebentar tadi.


La Roja menempa kekalahan 1-2 di Stockholm Jumaat lalu untuk pencapaian buruk pertama dalam 66 perlawanan kelayakan Piala Dunia sejak 1993 sebelum bangkit dengan bergaya di Badajoz menerusi gol sumbangan Jose Gaya, Carlos Soler, Ferran Torres dan Pablo Sarabia.

Ketua jurulatih, Luis Enrique, berpandangan jurang kemenangan itu mungkin lebih besar berdasarkan dominasi Sepanyol sesudah jaringan Torres dan Sarabia tidak diiktiraf yang menyaksikan tuan rumah melengkapkan 820 hantaran sementara Georgia, 264.

"Kami sebagai pemain profesional sudah terbiasa hidup dalam keadaan turun dan naik," katanya.

"Anda harus melalui keperitan selepas kalah tetapi perlu segera bangkit dan memikirkan perlawanan seterusnya.

"Walaupun keputusan ini nampak mudah tetapi sebenarnya tidak. Kami berhasil mengatasi mereka baik di dalam mahupun di luar kotak penalti, kami menciptakan peluang dan kami patut menjaringkan lebih banyak gol."

Satu-satunya kekecewaan bagi Sepanyol ialah beberapa pemain menghadapi masalah fizikal.

Sungguhpun Luis Enrique mengeluh berikutan aduan kelesuan otot dihadapi Aymeric Laporte, dia lebih bimbang dengan situasi Gaya.

"Sebilangan besar perubahan yang diketengahkan kerana dipengaruhi pemain yang mengadu tidak berasa selesa. Saya harap tiada kecederaan serius. Itulah berita buruk untuk kami," katanya.

"Laporte tidak ditimpa sebarang masalah dan ia hanya disebabkan beban kecil yang dihadapinya. Saya tidak fikir dia akan menjalani ujian perubatan.

"Tetapi Gaya tidak kelihatan baik."