Scott McTominay terpaksa diketepikan oleh Scotland selepas dijangkiti virus tekak, dedah jurulatih skuad kebangsaan itu, Steve Clarke.

Lantas, pemain tengah Manchester United tersebut bakal terlepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di Moldova itu awal pagi esok.

McTominay sempat menjalani latihan di Sepanyol minggu ini tetapi dibenarkan pulang bagi tujuan pemulihan.

Bagaimanapun, Clarke kekal berharap McTominay mampu mengatasi virus itu pada hujung minggu ini sekali gus akan bersedia menentang Denmark -- yang telah mengesahkan tiket mereka ke Piala Dunia -- menjelang perlawanan terakhir di peringkat kumpulan, Selasa depan.

"Malangnya, Scott McTominay telah dijangkiti sedikit virus tekak, jadi kami telah menghantar Scott pulang untuk berehat dan pulih. Semoga dia menyertai kami semula pada hujung minggu ini," kata Clarke kepada pemberita.

Scotland, yang empat mata di depan Israel untuk berada di tempat ketiga, hanya memerlukan satu kemenangan daripada dua perlawanan terakhir bagi mengesahkan tempat kedua dalam Kumpulan F, seterusnya mara ke babak play-off Mac depan.

Clarke tetap yakin dapat menempuhi rintangan itu sekalipun tanpa McTominay memandangkan tuan rumah, Moldova, hanya memperoleh satu mata daripada lapan perlawanan.