Ketua jurulatih Senegal, Aliou Cisse, meredakan kebimbangan terhadap bintang Liverpool, Sadio Mane, yang dikeluarkan lebih awal ketika menentang Togo, apabila menyifatkan kecederaan anak buahnya itu sebagai tiada apa-apa yang serius.

Penyerang The Reds itu digantikan selepas hanya 28 minit, semalam, dengan penyerang Villarreal, Boulaye Dia, masuk untuk menggantikannya dan Senegal memerlukan sentuhan berbisa daripada Habib Diallo pada minit ke-93 untuk membatalkan gol sendiri Pape Abou Cisse dalam separuh masa pertama untuk meraih keputusan seri.

Keputusan itu mengakhiri empat kemenangan berturut-turut Senegal dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan mereka sudah layak sebagai juara Kumpulan H.

Situasi pemain berusia 29 tahun itu mencetuskan kebimbangan terutama buat Liverpool, Cisse sebaliknya menegaskan ia hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kecederaan itu tidak serius," katanya selepas perlawanan.

"Kami menggantikannya hanya sebagai langkah berjaga-jaga, bukan berkaitan perkara serius."

Sentuhan Mane sangat penting buat Liverpool musim ini apabila sudah mencetak lapan jaringan dalam 15 penampilan sementara Mohamed Salah mengumpul 15 gol.