REPUBLIK IRELAND 0 PORTUGAL 0

Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, menegaskan hanya terdapat sedikit perbezaan di antara kemenangan dan seri ketika menentang Republik Ireland sekalipun slot mereka dalam kelayakan Piala Dunia masih perlu diputuskan apabila berdepan Serbia.


Barisan kendalian Santos itu meraih keputusan seri tanpa jaringan dalam pertembungan dengan Republik Ireland -- yang sekadar melakar satu kemenangan dalam kempen berkenaan -- awal pagi tadi.

Juara Euro 2016 itu turun berbekalkan rentak lima kemenangan dengan jumlah 16 jaringan, tetapi kali ini berdepan kebuntuan apabila sekadar mampu melancarkan tiga percubaan tepat di Dublin.

Kebuntuan itu menyaksikan Portugal dan Serbia kini terikat 17 mata dengan baki satu perlawanan, justeru pertembungan dua pasukan tangga teratas tersebut di Lisbon, Isnin depan, akan menentukan hala tuju masing-masing dalam Kumpulan A.

Ditanya sama ada dia gembira dengan keputusan itu, Santos memberitahu RT3: "Semestinya. Daripada segi kelayakan, menang 5-0 atau seri di sini adalah perkara yang sama.

“Sudah tentu saya lebih suka untuk menang 5-0, tetapi keputusan kali ini tetap positif. Serbia perlu bermain di stadium kami untuk memenangi perlawanan itu.

"Jelas sekali kami mahu menang dan tidak mahu seri, bukan itu tujuan kami datang ke mari. Tapi Republik Ireland merupakan lawan yang sangat agresif dan sangat fizikal.

"Dalam organisasi menyerang, kami membiarkan mereka mencipta ancaman. Pemain mencuba tetapi kami sentiasa menghadapi kesukaran -- pihak lawan pantas menutup ruang."





Begitupun, Santos menegaskan bahawa dia tetap yakin Portugal masih akan layak selepas merehatkan Ruben Dias, Bernardo Silva dan Joao Cancelo dalam kunjungan itu.

Dia juga akan kehilangan Pepe selepas pertahanan tengah itu dibuang padang berikutan kekasaran kedua di penghujung permainan.

Diminta tindakannya merehatkan tonggak utama ketika bertandang ke laman lawan awal pagi tadi bagi mengelak penggantungan, Santos menambah: "Saya perlu menyelamatkan mereka kerana tidak pasti sama ada mereka dalam keadaan baik atau tidak.

"Saya mahukan Pepe untuk perlawanan se;epas ini tetapi saya akan tetap dapat tidur lena. Kami akan menurunkan pemain yang sesuai (untuk dipertaruhkan bertemu Serbia)."