VIETNAM 4 INDONESIA 0

Vietnam mengubah permainan dalam babak kedua untuk menewaskan Indonesia 4-0 dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi.

Dengan Malaysia, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kesemuanya terikat dengan sembilan mata sebelum perlawanan itu, Vietnam memerlukan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas dan pasukan kendalian Park Hang-seo itu jelas mempamerkan corak menyerang.

Peluang terbaik Vietnam hadir pada pertengahan babak pertama apabila Van Duc Phan memperoleh bola dalam kawasan penalti sebelum menewaskan pertahanan lawan dan melepaskan percubaan dari sudut sukar tetapi usahanya itu diselamatkan penjaga gol, Nadeo Argawinata.

Peluang datang lagi buat Vietnam pada awal babak kedua dengan pemain gantian, Xuan Truong Luong, melepaskan percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti tetapi rembatannya sekadar singgah di palang gol biarpun Argawinata sudah tertewas.

Nguyen Tien Linh akhirnya memecahkan kebuntuan selepas enam minit babak kedua bersambung apabila memanfaatkan satu hantaran jauh sebelum menewaskan dua pertahanan Indonesia dan biarpun percubaan pertamanya ditampan, gerakan susulannya berhasil meletakkan Vietnam di depan.

Skuad Naga Emas itu kemudian menggandakan kelebihan mereka menerusi Nguyen Quang Hai, yang merembat kencang percubaan jarak jauh untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-62.

Kurang daripada tiga minit selepas itu, Vietnam melebarkan kelebihan mereka, kali ini melalui pemain gantian, Nguyen Cong Phuong, yang memanfaatkan lantunan daripada tandukan Nguyen Tien Linh.

Van Thanh Vu mempamerkan sepakan kaki kiri gemilang dari bahagian sudut pada minit ke-73 dan bola yang menuju ke penjuru atas itu memutlakkan kemenangan 4-0 Vietnam untuk kekal sebagai pendahulu Kumpulan G.

Vietnam kini di tangga teratas dengan 14 mata, dua mata meninggalkan UAE, manakala Thailand dan Malaysia masih terikat dengan sembilan mata.


*Sumber: AFC