"Dia boleh jadi pelakon lagak negeri," kata B. Sathianathan dalam Nadi Weekend sebentar tadi.

Seloroh bekas jurulatih kebangsaan itu merujuk kepada Nguyen Van Toan yang dikasari pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan, untuk memenangi sepakan penalti buat kemenangan 1-2 Vietnam dalam pertemuan psuignan kedua, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2024 di Dubai, awal pagi tadi.

Ketua pasukan Naga Emas, Que Ngoc Hai, kemudian menyudahkan sepakan dari jarak 12 ela itu sekalipun mampu diduga penjaga gol negara, Farizal Marlias.




"Saya nampak dia seperti aksi lagak ngeri, macam kena tembak dari jauh. Dia boleh berlakon.

"Ia nampak simulasi, tapi kata kawan saya yang sempat melihat rakaman lain, memang ada sentuhan.

"Tapi dengan sengaja atau tidak, tersandung ke, kita tidak tahu. Daripada 2-3 sudut tayangan malam tadi, tidak nampak pun.

"Brendan nampak macam akan mengalami kekejangan kaki tetapi dia tidaklah (berniat) bentes dari belakang. (Cuma) sudah satu meter baru dia (Van Toan) jatuh.

"Pengadil telah menukar perlawanan itu sepenuhnya," katanya lagi.




Dalam separuh masa pertama, gawang negara digegarkan oleh Nguyen Tien Linh menerusi satu lagi situasi bola pegun, sepakan penjuru, sebelum pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula, mengikat kedudukan 1-1.

Sathianathan menganggap pemain harus perlu meningkatkan kepekaan sekiranya berdepan dengan situasi serupa pada masa akan datang.

"Ia tugas pemain terdekat. (Konsep) "kawalan zon' ini berbahaya.

"Apabila bola dimainkan, kita kena serang bola itu. Aidil (Zafuan Abdul Radzak) sudah menyentuh bola berkenaan tetapi selepas itu semua pemain negara sekadar menjadi pemerhati.

"Kawalan zon menuntut pemain berada di tempat masing-masing dan sebaik bola dimainkan, mereka perlu serang bola itu.

"Inilah sebab Malaysia dibolosi daripada dua gol situasi bola mati."