Skuad negara menempa laluan berliku dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia apabila tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai awal pagi tadi.

Jaringan Ali Mabkhout dalam setiap babak memberikan tiga mata penting buat tuan rumah dengan gol bergandanya itu turut membolehkan penyerang berkenaan mengatasi Lionel Messi dan Sunil Chhetri selaku pemain aktif merekodkan jumlah gol antarabangsa kedua tertinggi dan hanya ketinggalan di belakang bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

UAE jelas menguasai permainan sejak wisel permulaan dan hampir menemui jaringan awal menerusi percubaan Khalfan Mubarak tetapi sedikit sentuhan daripada penjaga gol negara, Farizal Marlias, sudah cukup untuk menafikan gol itu.

Bagaimanapun, tatkala jentera tengah Malaysia, yang dibarisi Nor Azam Azih, Liridon Krasniqi dan Syamer Kutty Abba, masih tercari-cari rentak permainan, Abdullah Ramadan melakukan satu hantaran jauh gemilang kepada rakan sepasukannya di Al Jazira, Mabkhout, yang hanya memerlukan dua sentuhan untuk menewaskan Farizal dan Aidil Zafuan Abdul Razak dengan lambungannya pada minit ke-20.

Skuad kendalian Bert van Marwijk itu menjana asakan demi asakan menjelang waktu rehat dan peluang terbaik Malaysia pula muncul pada penghujung babak pertama tetapi disudahkan dengan tandukan Guilherme De Paula yang entah ke mana.

Tan Cheng Hoe merombak pasukannya dalam babak kedua dengan kemasukan pemain seperti Syafiq Ahmad, Junior Elstald dan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin, dan hampir memperoleh gol penyamaan pada minit ke-70 tetapi sepakan leret Syafiq sedikit tersasar di sebelah tiang gol.

Bagaimanapun, tujuh minit terakhir perlawanan itu bertukar menjadi igauan ngeri buat Harimau Malaya bermula dengan jaringan pemain naturalisasi UAE dari Brazil, Fabio de Lima, yang menyudahkan umpanan Bandar Al Ahbabi.

UAE menambah satu gol lagi pada minit pertama waktu kecederaan apabila Mabkhout yang tidak dikawal menjaringkan gol antarabangsanya yang ke-73 susulan satu serangan balas pantas.

De Lima kemudian menyumbat masuk gol kedua peribadinya pada lewat permainan, yang dimulakan dengan gerakan solo menarik Ramadan.

Dengan keputusan terbaru itu, UAE memintas Malaysia di tangga kedua manakala skuad negara pula tergelincir ke tangga keempat di belakang Thailand, kesemuanya dengan perbezaan jaringan selepas ketiga-tiga pasukan itu terikat sembilan mata dalam Kumpulan G.

Seterusnya, Malaysia akan berdepan pendahulu kumpulan, Vietnam, pada 12 Jun ini.

*Kredit foto: AFC