Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad, mahu bangkit daripada tragedi hitam yang dilaluinya tahun lalu selepas kemunculannya dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) begitu sukar untuk dilihat.

Syafiq terlibat dengan kemalangan yang meragut tiga nyawa ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Kedah, Disember tahun lalu.

Menerusi perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, selepas enam bulan bertarung emosi, penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bertekad untuk kembali ke landasan sebenar bagi membantu negara dalam baki tiga aksi Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 minggu depan.

"Pada mulanya ia tempoh yang sangat sukar, ia akan sentiasa (berlegar) dalam ingatan saya.

"Ia memakan masa yang panjang. Apabila saya masuk kembali latihan, masuk ke padang, saya perlu lupakan segala masalah," katanya.

"Saya tidak boleh lupakan apa yang telah berlaku tapi saya banyak bercakap dengan orang-orang yang lebih positif.

"Apa yang berlaku adalah perjalanan hidup (saya).

"Tapi sekarang adalah misi penting untuk Malaysia dan kalau tidak ambil peluang, kami akan betul-betul rugi," katanya.





Diberi tempoh bermain selama 40 minit dalam aksi pemanas badan dengan Kuwait, lantas Syafiq dijangka akan membarisi kesebelasan utama dalam ujian terakhir bertemu Bahrain di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sabtu ini.

Ia gara-gara penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula -- yang meledak satu gol dalam kekalahan 1-4 bertemu Kuwait-- tidak dapat diturunkan ekorannya status permastautinnya hanya genap lima tahun memasuki 1 Jun 2021.

"Ini satu peluang untuk dibuktikan (kemampuan).

"Walaupun ketiadaan De Paula, saya akan buktikan apa yang pernah dan boleh dilakukan dalam perlawanan akan datang.

"Saya akan laksanakan apa yang perlu dilakukan di atas padang."