Bekas ketua jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, memandang positif dengan persiapan pasukan Harimau Malaya menjelang tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2024, bermula Khamis depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tumbang 0-2 kepada Bahrain, awal pagi tadi, sesudah dijinakkan Kuwait 1-4, lima hari lalu.

Kekalahan kedua di Asia Barat itu sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kemampuan mereka untuk berdepan tiga baki aksi pusingan kedua, Kumpulan G, bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun).

Namun, Sathianathan bersependapat pemain Malaysia belum mendapat rentak berikutan hanya mempunyai tempoh singkat untuk mengharungi musim ini.

"Persiapan Liga Super hanya lima minggu dan rata-rata pemain yang terlibat daripada sana sementara tiga lagi daripada Liga Perdana.

"Saya masih ingat lagi jurulatih Selangor (Karsten Neitzel) pernah meluahkan tempoh itu tidak mencukupi, jadi ia sedikit sebanyak mengganggu persiapan (skuad kebangsaan).

"Pasukan di Asia Barat seperti Kuwait, UAE dan Bahrain sudah bermain 4-5 perlawanan antarabangsa, (tetapi) kita sudah 18 bulan tidak beraksi dalam satu perlawanan pun.

"Saya pernah buat persiapan di Dubai, banyak pasukan dari luar datang ke sana misalnya AC Milan, Juventus.

"Oleh itu dengan dana yang besar, saya tidak hairan kalau mereka merekrut pasukan ini untuk menguji mereka," katanya yang baru sembuh daripada jangkitan COVID-19.





Begitupun, Sathianthan menuntut pemain negara segera melupakan dua kekalahan itu dan mengambil kesempatan yang ada untuk memperbaiki kelemahan, khususnya aspek kekuatan mental.

"Ini bukan pertandingan kalah mati, mereka perlu bina keyakinan dan mampu meraih keputusan yang baik dengan UAE selain mengambil kira perlawanan membabitkan Vietnam-Thailand.

"Kita mahu memenangi peperangan, bukannya sekadar pertarungan. Ia memerlukan (fokus) untuk satu persatu perlawanan.

"Kalau kalah kepada UAE, Malaysia masih berpeluang cerah berdepan pasukan lain. Jadi mereka perlu cuba dapatkan keputusan positif."