Bekas jurulatih negara, Dollah Salleh, menganggap terlalu banyak perubahan pemain dalam persediaan yang singkat menjadi punca Harimau Malaya gagal menyerlah di Dubai.

Dollah berpandangan barisan pemain yang ada ketika ini tidak perlu melewati perubahan yang ketara jika Malaysia tidak mahu kecewa lagi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

"Masalah kita ini semuanya hendak segera, semuanya mahu keputusan cepat.

"Banyak gangguan terhadap jurulatih, banyak sangat cadangan.

"Sesiapa pun yang Tan Cheng Hoe turunkan sudah pastinya semuanya mahu berikan yang terbaik," katanya dalam temu bual di Nadi Arena, sebentar tadi.

Merujuk kepada kemenangan pertama Malaysia ke atas Thailand, jurulatih Sri Pahang itu masih melihat keseluruhan pemain tidak beraksi di tahap sepatutnya.

Hanya pertahanan negara, Matthew Davies dianggap paling menyerlah sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya lihat dia satu-satunya pemain yang walaupun bermain sebagai pemain pertahanan, tetapi sentiasa memberi sokongan kepada bahagian serangan.

"Hantarannya banyak memberi peluang untuk menjaringkan gol," katanya lagi.