Laman media sosial pengadil yang mengadili perlawanan di antara Malaysia dan Vietnam, awal pagi tadi, terus menjadi subjek kecaman peminat negara.

Ryuji Sato dari Jepun menjadi tumpuan utama apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan kendalian Park Hang-seo itu ketika menuju waktu kecederaan, sekali gus mengekalkan kedudukan pendahulu Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan rekod tanpa kalah -- gol kedua dibolosi mereka sepanjang kempen.

Sato tidak teragak-agak untuk memberikan menjatuhkan hukuman itu selepas tonggak negara, Brendan Gan, terlebih dahulu dikesan menjatuhkan Nguyen Van Toan.

Malah, kelibat Brendan sendiri langsung tidak membantah dengan keputusan itu.

Situasi genting itu bagaimanapun sukar dikesan melalui beberapa pandangan sudut kamera ketika itu hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat Malaysia.

Begitupun, pengadil berusia 44 tahun itu menganggap ia satu tindakan yang tepat dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, ketua pasukan Naga Emas, Que Ngoc Hai, yang menggalas tanggungjawab sepakan berkenaan tenang menyempurnakan sungguhpun penyerang Harimau Malaya, Guilherme De Paula, cuba mengganggu tumpuannya dengan berbisik sesuatu ke arahnya.





"Ketika saya hendak menyepak, ramai pemain Malaysia berusaha memberikan tekanan kepada saya. Mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka memberitahu saya bahawa saya pasti akan gagal.

"Namun, seorang pemain yang bersemangat dan berani pasti mampu mengatasinya.

"Saya sudah terbiasa. Saya berpesan kepada diri sendiri agar mengabaikannya dan tumpu untuk menyudahkan sepakan penalti itu dan ia membantu kemenangan kami," kata pertahanan tersebut seperti dipetik daripada VnExpress.