Pengurus Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menganggap pemilihan pemain naturalisasi dalam kempen pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2024 bukan satu kegagalan sambil mengakui pembentukan pasukan ampuh memerlukan masa.

Pasukan kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe -- yang memiliki tiga tonggak naturalisasi untuk dipertaruhkan yang terdiri daripada Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh -- menerima tekanan hebat berikutan gagal melunaskan harapan peminat negara untuk menyaksikan skuad negara memberi saingan jitu.

Selepas tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai, Vietnam menghadiahkan kekalahan keempat buat Harimau Malaya tetapi dengan permainan yang lebih kemas awal pagi tadi, Malaysia masih kalah 1-2.




"Saya rasa ia bukan faktor pasukan itu naik dan turun.

"Pemain naturalisasi mestilah lebih baik daripada pemain tempatan tetapi dalam permainan sepasukan seperti ini, banyak faktor dalam pasukan perlu diambil kira sebelum meletakkan pemain itu memberi impak atau tidak.

"Bukan pemain naturalisasi sahaja yang tidak seperti yang diharapkan, nampaknya beberapa pemain tempatan juga nampak tidak menepati tahap yang diperlukan," katanya dalam Nadi Weekend sebentar tadi.