Bekas ketua pasukan kebangsaan, Hairuddin Omar, melabel Malaysia kini tersepit dalam misi wajib menang bagi baki perlawanan pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Apa cara sekalipun, kalau mereka nak cipta sejarah layak ke pusingan seterusnya -- dengan apa cara tidak penting, janji menang.

"Main cantik tidak penting, jalan terus," katanya dalam Nadi Weekend sebentar tadi.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berdepan kritikan hebat berhubung pemilihan kesebelasan utamanya selain tiga tonggak naturalisasi yang mempamerkan prestasi yang tidak seperti dijangkakan di pentas antarabangsa.

Tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mudah meratah Malaysia 4-0 dengan tiga jaringan terhasil dalam babak kedua, semalam.

Penolong jurulatih Malaysia B-20 itu, bagaimanapun, menganggap pemain naturalisasi perlu membuktikan kebolehan dalam dua perlawanan Kumpulan G, iaitu bertemu sesama wakil Asia Tenggara, Vietnam pada Sabtu depan disusuli Thailand (16 Jun).

"Sepatutnya lawan pasukan Asia Tenggara ini lebih mudah buat (Guilherme De Paula) dan Liridion (Krasniqi).

"Apabila kita ambil pemain import, harapan kita (terhadap mereka) tinggi tapi kita dikecewakan.

"Kalau tidak menjadi juga (dalam perlawanan selepas ini), kita patut kembali ke perancangan (DNA) asal," katanya lagi.





Hairuddin juga mengingatkan pendahulu kumpulan, Vietnam, dan Thailand bukan calang-calang pasukan.

Skuad kebangsaan -- yang di kedudukan keempat -- perlu mencari jalan daripada terus terjerat dengan Vietnam selepas tewas 0-1 dalam pertemuan pertama.

"Pemain negara tidak dapat pegang bola dengan lama, mereka cepat menutup ruang.

"Pemain negara perlu atasi perkara ini untuk cipta jaringan seterusnya kemenangan.

"Walaupun kita pernah menewaskan Thailand, mereka mempunyai banyak peluang cuma gagal disudahkan."