"Keputusan semalam memang pedih, senyum hanya pura-pura."

Demikian ulasan Safee Sali mengenai kempen pertama skuad negara di Dubai, malam tadi, apabila diratah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-4, malam tadi.

Impian menggunung Harimau Malaya dalam aksi pertama bagi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu terbantut apabila tergelincir ke tangga keempat selepas enam perlawanan.

UAE mempamerkan penguasaan 70 peratus, sekali gus menenggelamkan barisan kendalian Tan Cheng Hoe yang diperkuatkan dengan tiga pemain naturalisasi selain tonggak warisan.

"Sesiapa yang kecewa semalam sebenarnya telah meletakkan harapan tinggi terhadap Harimau Malaya.

"(Mereka) terpedaya dengan projek naturalisasi yang tidak seperti yang diharapkan.

"Keserasian Malaysia dilihat tidak mencapai 100 peratus, belum kuat sebagai sebuah pasukan.

"Apa yang ingin dirancangkan ketua jurulatih ialah sedikit bertahan tetapi apabila pemain tidak mampu berikan persembahan yang baik, perancangan itu terencat.

"Persembahan seperti ini tidak bagus untuk moral pasukan," katanya dalam wawancara khas bersama Nadi Arena sebentar tadi.





Tekanan terhadap Cheng Hoe semakin memuncak menjelang pertemuan dengan Vietnam, 14 Jun ini.

Pemilihan pemainnya masih dipersoalkan berikutan meminggirkan beberapa pemain kelab lain yang lebih menyerlah -- sudah pasti mereka memiliki minit permainan yang tinggi.

Namun, Safee berpesan kepada pemain yang dalam barisan di Dubai kali ini agar membuktikan bahawa pemilihan mereka bukan sekadar sebagai penumpang semata-mata.

"Perlawanan antarabangsa membabitkan keamatan yang sangat tinggi, bukan seperti Liga Malaysia (Liga-M).

"Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) diakui berada di tahap yang lebih tinggi dalam Liga-M tetapi memasuki peringkat antarabangsa, permainan setiap individu perlu ditingkatkan.

"Apabila adanya pemain naturalisasi, usaha berganda mereka pastinya diharapkan untuk membantu pasukan.

"Pertahanan kita bersungguh-sungguh mematahkan serangan mereka, sebaliknya benteng mereka tidak teruji sepenuhnya.

"Pemain negara tiada karakter seperti Brendan Gan yang akan membuat kerja kotor seperti merampas bola," katanya lagi.





Dalam masa sama, penggempur Kuala Lumpur City itu percaya Harimau Malaya mampu bangkit dalam aksi seterusnya ketika berdepan Vietnam dan Thailand kelak.

"Paling penting pasukan negara kuatkan bahagian tengah. Malaysia harus menutup bahagian tengah Vietnam daripada membuat hantaran.

"Mereka pantas jadi pasukan negara harus kompak, jangan benarkan mereka buat larian ke belakang pertahanan.

"Daripada segi mental untuk bertemu Vietnam, saya tidak kisah.

"Tahap kita tidak terlalu jauh, kita boleh buat sesuatu."