'Manfaat ketiadaan Quang Hai', jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mengakui kad kuning yang dikutip pemain tengah Vietnam, Nguyen Quang Hai, dalam perlawanan menentang Indonesia menjadi khabar gembira buat skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Jumaat ini.

Meskipun ia tampak hanya kelebihan 1 peratus kepada skuad negara, Cheng Hoe tetap menuntut pemainnya mengambil kesempatan itu untuk menandingi kehebatan anak buah Park Hang-seo yang sudah melaung amaran menerusi kemenangan besar 4-0 awal pagi tadi.



Inilah jaringan yang dilakukan Quang Hai ketika bertemu skuad Garuda.

Teknik sepakan sempurna yang memastikan kelajuan bola tepat ke arah gol pastinya menghadirkan rasa gerun kepada benteng Harimau Malaya.

Mujur, pemain terbaik Piala AFF 2018 itu tidak dapat beraksi bertemu Malaysia gara-gara mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan tersebut.

Quang Hai bakal menjalani panggantungan satu perlawanan dan situasi itu tampak menjadikan Cheng Hoe kekal tenang di sebalik aksi garang Vietnam.

"Kami mengetahui pemain itu merupakan perancang serta menyumbang jaringan buat Vietnam. Saya berasakan ia adalah satu kelebihan namun Heng-seo tetap memiliki perancangan yang berbeza ketika bertemu Malaysia nanti," kata Cheng Hoe.

"Dengan ketiadaannya, saya berharap Malaysia dapat menampilkan permainan yang lebih baik dan beraksi sebagai satu pasukan, perkara paling penting adalah menggunakan setiap peluang dengan sebaik mungkin."