Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Jentera serangan UAE tarik perhatian Cheng Hoe

Shaiful Shamsudin
April 27, 2021 12:08 MYT
Bukan tiga tapi empat gandingan di jentera serangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang perlu dipatahkan barisan pertahanan negara dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Selain tiga pemain naturalisasi yang sudah bersama pasukan itu sejak 2019, seorang lagi pemain tempatan yang terus mencuri tumpuan iaitu Ali Mabkhout selepas dia muncul selaku penjaring terbanyak liga tempatan ketika ini.
Ali dilabel sebagai mesin gol tuan rumah bagi baki empat perlawanan Kumpulan G itu yang akan menerapkan format gelembung sukan di Dubai, Jun depan.
Dia meledak dua gol yang memberikan kekalahan kepada Malaysia dalam pertemuan pertama pada September 2019.
Tonggak Al Jazira itu tidak menunjukkan tanda-tanda kejatuhan prestasi, merujuk kepada aksi persahabatan dengan India pada bulan lalu.
"UAE memang fokus di bahagian serangan disebabkan ingin mendapatkan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.
"Ali Makhbout adalah penyerang yang banyak menyumbangkan gol buat UAE, pertahanan negara perlu fokus kepada bahagian serangan lawan," katanya di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.

التدريب على الهدف ? #نادي_الجزيرة ⚪⚫

Posted by Al Jazira Club on Sunday, April 25, 2021
Ali mencatat hatrik daripada enam gol yang terhasil tanpa berbalas oleh India.
Justeru, bukan mudah buat pertahanan utama negara yang dijangka diperkuatkan oleh Aidil Zafuan Abdul Razak, Matthew Davies, Corbin Ong dan Shahrul Saad.
Kegusaran pengendali negara, Tan Cheng Hoe, turut terarah kepada satu kad kuning yang dipungut Aidil Zafuan dan Corbin setakat ini.
Bagaimanapun, jurulatih itu masih mempunyai pilihan seperti Dominic Tan, Junior Eldstal, Rizal Ghazali, Syazwan Andik Ishak dan Syahmi Safari.
"Kami tidak boleh bergantung kepada empat pertahanan ini sahaja.
"Mereka perlu mengelak daripada mengutip kad kuning kedua, inilah sebabnya kami memerlukan pemain lain juga bersedia menggalas tanggungjawab di bahagian pertahanan."
#UAE #Harimau Malaya #Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023