Bekas penyerang negara, Safee Sali, mengingatkan pasukan kebangsaan agar tidak mudah memberi ruang kepada Bahrain dalam perlawanan pemanas terakhir sebelum aksi sebenar Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, minggu depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bakal diuji pasukan di tangga ke-98 dunia itu sebelum kempen sebenar di Dubai bertemu tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 4 Jun sebelum berdepan Vietnam dan Thailand.

Safee yakin Syafiq Ahmad -- yang mengalami kemalangan ngeri Disember lalu -- berpotensi untuk mengetuai jentera serangan negara ketika bertemu Bahrain memandangkan khidmat penggempur naturalisasi, Guilherme De Paula, kerana perlu diketepikan atas faktor teknikal.

Malah, pemain Kuala Lumpur City itu yakin faktor pengalaman akan memainkan peranan penting dalam pertemuan kali ini.

"Syafiq boleh bangkit, dia seorang pemain yang sangat berbakat.

"Untuk perlawanan bertemu Bahrain, Cheng Hoe akan berinya peluang beraksi yang dijangka akan bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha.

"Perlawanan ini penting untuk negara, ini bukan masanya untuk menguji pemain untuk bertemu UAE,

"Malaysia perlu dapatkan keyakinan lebih baik untuk bertemu UAE kelak," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Pertembungan di Stadium Al-Bahrayn al-Watani, Riffa, itu pasti menjanjikan ujian berbeza buat skuad kebangsaan yang tewas 1-4 kepada Kuwait Ahad lalu, baik dalam aspek fizikal dan teknikal permainan.

"Bahrain lawan yang sangat sukar untuk dihadapi, mereka ada kelebihan fizikal.

"Pemain negara juga perlu bersedia dengan kepantasan lawan, mereka mempunyai kebolehan individu yang sangat baik dan mampu melepasi pertahanan dengan muda.

"Jangan biarkan pertahanan Malaysia mudah dibolosi, malah cuaca berbeza juga boleh memainkan peranan," katanya.





Menurutnya lagi: "Saya pernah lawan bahrain, tapi fizikal kita kini hampir sama dengan pemain naturalisasi yang ada.

"Pasukan Bahrain mempunyai kepantasan dan pergerakan yang sangat berkean. Mereka tinggi dan kualiti individu yang sangat baik. Pasukan Malaysia harus berwaspada terutama bahagian tengah kerana mereka sangat kreatif untuk cuba menembusi pertahanan.

"Hantaran mereka sangat tepat, jangan lakukan kesilapan dan beri ruang yang sangat besar kepada pemain tengah Bahrain."

Begitupun, Harimau Malaya masih mempunyai elemen kejutan asalkan pemain negara bijak mencari ruang yang ada biarpun terhad dengan mempertaruhkan serangan balas.

"Pendekatan ini sangat sesuai untuk menentang Bahrain. Walaupun yakin untuk bermain dengan hantaran pendek tapi pemain negara jangan terlalu gopoh untuk menyerang.

"Pasukan Malaysia perlu mantap di bahagian belakang dan tengah.

"Kita mempunyai pemain pantas seperti Safawi (Rasid) atau Akhyar Rashid jika diturunkan ketika kalau ada ruang di bahagian serangan," katanya.

Begitupun, Safee menuntut peminat Harimau Malaya yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G itu supaya tidak melatah tanpa mengira apa jua keputusan yang diraih di Bahrain itu.

"Ini adalah perlawanan persahabatan dan penting untuk Harimau Malaya terutama Tan Cheng Hoe.

"Sudah tentu dia mahu mendapatkan persiapan yang baik sebelum bertemu UAE.

"Bahrain lebih bahaya, kalau Malaysia dapat buat kejutan maka kita akan ada kelebihan moral untuk bertemu UAE."