Kesilapan individu membuktikan barisan pemain mempamerkan potensi untuk terus berkembang dalam kempen pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, bermula Khamis depan.

Selepas ditundukkan 1-4 Kuwait dalam ujian pertama, skuad Harimau Malaya -- yang menguasai tangga kedua Kumpulan G kempen -- tumbang lagi apabila menjadi mangsa Bahrain dalam aksi Kelas A, awal pagi tadi.

Terbukti beberapa aspek lagi perlu ditingkat pasukan negara tetapi pada hemat Pengarah Teknikal Sarawak United, B. Sathianathan, terdapat perkara positif yang ditonjolkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Beberapa kesilapan kepincangan dan salah faham di bahagian benteng dihukum lawan apabila menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-41 selain tolakan pemain tengah naturalisasi, Liridon Krasniqi, gagal dikeluarkan penjaga gol, Farizal Marlias (minit-61) dihukum lawan.

"Mereka melakukan kesilapan individu tetapi bukan macam ketika lawan Kuwait. Ini membabitkan tumpuan jadi dalam baki 5-6 hari ini, mentaliti mereka kena kuat.

"Adakala mereka tak perlu main cantik, contohnya di kawasan yang padat dengan pemain lawan dan bola itu seharusnya dikeluarkan.

"Berbanding bolos dengan tiga hantaran lintang dan satu sepakan percuma ketika menentang Kuwait, kali ini gol Bahrain datang daripada kesilapan kita sendiri, ini sesuatu yang positif," katanya dalam Nadi Weekend sebentar tadi.





Syafiq Ahmad memiliki peluang berharga dalam separuh masa pertama, malangnya tandukannya gagal menerjah jaring seteru di ranking ke-99 itu sementara khidmat penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula -- yang menyumbat satu gol ketika berdepan Kuwait -- tidak dapat dipertaruhkan bagi perlawanan kelas A tersebut berikutan statusnya sebagai naturalisasi hanya sah bermula Selasa ini.

Namun, Sathianathan menjangkakan Cheng Hoe sekali lagi akan membuat rombakan di jentera serangan ketika bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis depan, sebelum berdepan Vietnam (12 Jun) disusuli Thailand (16 Jun).

"Kalau tukar (formasi) 4-4-2 memang susah berikutan UAE telah membelasah Jordan 5-1.

"Sebelum itu mereka belasah India 6-0. Apatah lagi sudah jelas mereka akan mendapatkan pemain naturalisasi dalam perlawanan akan datang. Dengan 11 gol terhasil dalam dua perlawanan, adakah Malaysia masih ingin bermain dengan dua pemain tengah.

"Kalau De Paula digandingkan dengan Syafiq, maka kita hilang seorang pemain tengah.

"UAE pula mengetengahkan formasi 4-3-3 dan beralih kepada 2-5-3 ketika menyerang.

"Jadi adakah kita berani bermain dengan dua penyerang?"

Menurut Cheng Hoe pula sejurus perlawanan: "Ini satu permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini dan masih banyak kelemahan pasukan. Gol tersebut berpunca daripada kesilapan individu.

"Kami nampak ada peningkatan. Separuh masa pertama kami ada 1-2 peluang gol, ia sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pasukan.

"Sepakan penalti dan kesilapan individu menyebabkan perjalanan kami agak terganggu."