Pertemuan dengan Thailand pada tengah malam esok bukan sekadar pelengkap jadual yang tidak lagi memberi sebarang perubahan.

Apa pun keputusan yang diperolehi selepas ini, skuad Harimau Malaya sudah terlepas 12 slot automatik kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Tetapi itu tidak bermakna, peluang Malaysia untuk ke Piala Asia telah tertutup.

Justeru, kemenangan ke atas skuad Gajah Perang itu mustahak demi menjamin kedudukan yang lebih baik dalam play-off kelayakan Piala Asia 2023 dengan undiannya bakal dilakukan pada bulan depan.

Kudrat skuad kebangsaan terus ditagih bagi menjamin undian lebih mudah dalam kelayakan pusingan ketiga kelak.

Sehubungan itu, kemenangan ke atas Thailand adalah tugasan wajib yang perlu direalisasikan memandangkan kedudukan ketiga Kumpulan G, memainkan peranan penting untuk skuad negara mengelak pasukan yang lebih kuat bagi merebut 12 slot daripada 24 pasukan yang bertanding dalam pusingan ketiga kelak.

"Permainan bola sepak menuntut kerjasama pasukan serta perlu fokus dalam setiap minit dan saat.

"Adakalanya rakan sepasukan membuat kesilapan dan perlu ditegur sepanjang permainan tetapi dalam masa sama mereka membuktikan mampu beraksi secara berpasukan.

"Ia satu perkembangan yang baik.

"Kami perlu mencipta lebih banyak peluang untuk jaringan, barulah dapat meningkatkan peluang kemenangan. Kami tidak boleh sekadar bertahan sepanjang permainan.

"Pada 2019, kami mampu menyerang dan bertahan sebagai sebuah pasukan, itulah (elemen) yang kurang jadi kami perlu lebih gigih.

"Andai barisan pemain saling memahami (corak permainan) masing-masing maka kami mampu beraksi dengan baik," kata bekas jurulatih Kedah itu dalam Nadi Arena, sebentar tadi.





Situasi itu diakui Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, sambil menegaskan sebarang perubahan drastik akan dipertimbangkan badan induk berkenaan andai kempen di Dubai memerlukan pembaikan segera.

"Kami akan bersama pasukan yang amat kuat.

"Dalam kumpulan lain, tempat kedua dan ketiga dihuni Jordan, Kuwait, Bahrain dan Palestin.

"India, Afghanistan, Kyrgyzstan dan Tajiskistan juga menghuni tangga kedua dan ketiga dalam kumpulan masing-masing.

"Oleh itu pusingan ketiga kelayakan bukan cabaran mudah tapi pastinya kami akan bersedia menghadapinya," katanya.