Pelbagai pihak telah pun melontarkan idea dan pandangan apabila berasakan perlu ada pembetulan dalam membariskan pemain untuk kesebelasan utama bertemu Vietnam, awal pagi Sabtu ini.

Segala keputusan tetap terletak di tangan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menjelangkan pertemuan pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Begitupun, idea untuk memisahkan Mohamadou Sumareh Safawi Rasid tiada dalam perancangan Cheng Hoe.

Dia sebaliknya menegaskan , gandingan inilah yang mampu membantu pasukan dalam baki dua perlawanan Kumpulan G itu.

"Kedua-dua pemain mempunyai kekuatan masing-masing tetapi (saya akui) yang terbaik adalah di bahagian tengah kanan.

"Apabila diturunkan, posisi mereka sentiasa bertukar-tukar. Kadang-kadang Safawi di kanan sementara Sumareh pula di kiri (dan begitulah sebaliknya).

"Kami perlu gunakan kekuatan mereka dengan sebaik mungkin sambil mengharapkan mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut dan menampilkan prestasi terbaik," jelasnya dalam Nadi Arena sebentar tadi.




Walaupun skuad Naga Emas bakal pincang tanpa beberapa tonggak termasuk penggantungan pemain berbisa, Nguyen Quang Hai, ia tetap laluan berliku buat Harimau Malaya.

Namun, Cheng Hoe tetap menyuarakan yakin terhadap kebolehan barisan yang akan dipertaruhkannya di Stadium Al-Maktoum, Dubai, kelak.

"Sudah tentu setiap pasukan perlu ada keyakinan apabila menentang mana-mana pasukan. Kami tahu ada seorang dua pemain Vietnam yang tidak dapat beraksi tetapi itu bukan kelemahan mereka.

"Mereka mempunyai barisan kedua dan ketiga yang boleh mengisi kekosongan tersebut.

"Kami perlu bermain dengan kekuatan sendiri yang sebelum ini begitu baik dan saya berharap momentum ini permainan tersebut boleh dikekalkan.

"Selepas menentang UAE, kami sudah dapat keyakinan daripada segi momentum dan intensiti," katanya lagi.

Dalam masa sama, pengamal media Vietnam menjangkakan pendahulu kumpulan itu tidak berdepan masalah untuk menjinakkan seteru Asia Tenggara berkenaan.

"Ia bukan satu kesukaran buat Park Hang-seo (ketua jurulatih), Vietnam mempunyai ramai pilihan. Kehilangan seorang pemain boleh diisi.

"Park Hang-seo telah mengamalkan taktik berbeza sejak 2018 berbanding 3-4-3 yang sering menjadi pilihannya.

"Dia kini mencongak formasi 3-5-2. Ia bukan hanya formasi malah pemain juga dan walaupun kehilangan beberapa pemain utama, ia bukan satu kerumitan buat jurulatih memandangkan kami memiliki ramai yang bagus," kata seorang wartawan Vietnam, Hoang Duy Anh.