Seramai 19 pemain daripada kem latihan pusat pertama mengekalkan tempat mereka dalam senarai 25 pemain negara menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Daripada senarai itu, hanya pemain pertahanan, Shahrul Saad -- yang baru menandatangani kontrak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) -- tidak tersenarai gara-gara kecederaan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, masih mengharapkan keajaiban agar pertahanan tengah itu sempat pulih dan dapat dibawa ke UAE bagi kempen berkenaan.

"Apa yang paling merisaukan saya adalah perkara seperti yang menimpa Shahrul Saad di mana pemain itu mendapat kecederaan," kata Cheng Hoe kepada Nadi Arena.

"Dia sorang pemain yang sentiasa berada di benteng terakhir skuad kebangsaan.

"Pihak perubatan kami akan menilai tahap kecederaan di lututnya dan kami memang berharap agar dia dapat pulih dalam masa terdekat ini kerana kita tahu dia merupakan tonggak utama sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia ini.

"Jadi, kami mengharapkan satu berita positif buat pasukan ini," katanya.

Siaran Media: Senarai 25 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya Bermula 16 Mei 2021 Berikut senarai nama 25...

Posted by Football Association of Malaysia on Monday, 10 May 2021