Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Cheng Hoe anggap penundaan satu kelebihan

Muzaffar Musa
Mac 30, 2020 13:28 MYT
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menganggap tarikh baru bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia /Piala Asia sebagai peluang terbaik untuk menurunkan kesebelasan terkuatnya.
Namun, barisan pemain yang akan diketuai pemain naturalisasi baru, Liridon Krasniqi, berkemungkinan akan berdepan risiko kecederaan yang tinggi berikutan kesan penundaan berkenaan, yang disebabkan pandemic Covid-19.
Cheng Hoe sebelum ini kempunan untuk mendapatkan khidmat Liridon sekiranya perlawanan kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) berlangsung pada tarikh asal 26 Mac lalu.
Ia kerana pada tarikh itu, Liridon masih perlu menunggu kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memandangkan tempoh permastautinannya di Malaysia hanya genap lima tahun pada 25 Mac lalu -- enam hari selepas tarikh pendaftaran pemain pada 19 Mac lalu.
Situasi berubah kepada sebaliknya ketika ini, bahkan penangguhan perlawanan berkenaan turut memungkinkan kudrat seorang lagi pemain naturalisasi, Guilherme De Paula, dapat diturunkan.
"Dengan perlawanan tersebut ditunda, ada kebaikannya kerana kami dapat menggunakan Liridon dan De Paula juga berkemungkinan akan dipanggil untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
"Dan sudah pasti bukan hanya kedua-dua pemain itu sahaja.
"Saya rasa muka-muka baru juga akan diberikan peluang.
"Buat masa ini, pemain kebangsaan perlulah mengekalkan tahap kecergasan dan fizikal mereka," kata jurulatih itu.
Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri berpandangan Cheng Hoe akan berdepan krisis kecederaan dan kecergasan pemain susulan kepadatan jadual liga gara-gara penundaan berkenaan.
"Agak mencabar daripada segi pemilihan pemain.
"Jika diambil kira, kalau liga bermula pada Mei atau Jun depan, iaitu selepas Hari Raya, kita perlu lihat juga berapa banyak perlawanan yang sudah berlangsung.
"Kita perlu kira berapa minit perlawanan pemain yang dipilih itu sama ada ia mencukupi atau tidak," katanya.
#Tan Cheng Hoe #Kelayakan Piala Asia #kelayakan Piala Dunia