Pemain tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih, enggan memilih 'kawan' apabila menegaskan semua pemain tengah mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan Gan untuk perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3 Jun ini.

Brendan yang juga pemain tengah Selangor FC terpaksa diketepikan bagi perlawanan tersebut kerana digantung satu perlawanan.

Ini bermakna, Azam perlu membentuk gandingan baru bersama Syamer Kutty Abba, Nazmi Faiz Mansor atau pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi.

Perkongsian lanjut azam bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya tidak kisah bermain bersama mana-mana pemain. Saya berasakan semua boleh menggantikan tempat Brendan," katanya.

"Syamer dan Nazmi mempamerkan aksi cemerlang dalam sesi latihan dan membuktika mereka boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan.

Mengenai kehadiran Liridon, Azam berkata, "Ia merupakan satu kelebihan buat pasukan kerana ia memastikan setiap pemain berusaha memberikan persaingan yang sihat bagi mendapatkan tempat dalam skuad utama."