Ketua pasukan negara, Aidil Zafuan Razak, sedia mengambil risiko besar ketika Harimau Malaya bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan mengumpul satu kad kuning dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Risiko itu bagaimanapun belum mampu menghalang hasrat pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, yang menjangkakan tiada masa untuk mereka bersenang lenang sepanjang aksi 90 minit, sambil berikrar untuk menafikan setiap asakan berat daripada Ali Mabkhout di samping tiga pemain naturalisasi UAE di Dubai, 3 Jun depan.

Dengan perubahan drastik yang berlaku, Aidil Zafuan sudah bersedia dengan asakan luar biasa UAE berbanding pertemuan pertama pada September 2019.

Tegasnya, kelebihan yang menghadiahkan kemenangan UAE ketika itu hanyalah kesilapan yang berlaku di pertahanan negara sendiri.

Namun, situasi selepas ini mungkin tidak lagi sama berikutan jentera serangan lawan bakal menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya.

"Dari pusingan pertama lagi kami menyedari kelibatnya, dia boleh mendatangkan bahaya kepada pasukan negara.

"Dia masih dalam prestasi terbaik ketika ini dan menjaringkan hatrik ketika melawan India.

"Dia harus diberi lebih perhatian di bahagian pertahanan selain pemain naturalisasi UAE," katanya ketika dihubungi wakil Astro Arena, Fina Nasrom, hari ini.




Aidil Zafuan, yang mengumpul satu kad kuning, mengharapkan taktikal Tan Cheng Hoe tidak menafikannya ruang untuk beraksi.

Dalam pada itu, seorang lagi pertahanan negara, Shahrul Saad, memiliki tumpuan berbeza yang melibatkan pemain tengah UAE, Omar Abdulrahman, biarpun khidmat pemain ini tidak ditagih dalam perlawanan persahabatan terbaru menentang India, hujung bulan lalu.

"Kami bermain agak baik dalam perlawanan itu cuma sedikit terleka.

"Tapi kami banyak belajar daripada insiden itu dan kami perlu tingkatkan prestasi untuk aksi seterusnya.

"Semua pasukan sudah membuat persediaan lebih awal berbanding Malaysia. Jadi kami perlu tunjukkan komitmen (yang tinggi)," kata pertahanan Perak FC itu.