Wissam Ben Yedder dipanggil ke skuad Perancis selepas Kingsley Coman bergelut dengan kecederaan betis.

Coman beraksi lebih sejam ketika Perancis seri 1-1 dengan Ukraine, kelmarin, dalam perlawanan kelima berturut-turut mereka tanpa kemenangan.

Dengan pemain sayap Bayern Munich itu yang hampir pasti akan terlepas menghadapi Finland dalam kelayakan Piala Dunia, lantas ketua jurulatih, Didier Deschamps, memutuskan untuk mendapatkan pemain luar dari kemnya.

Ben Yedder dimasukkan ke dalam pasukan semalam sempena perlawanan ketiga Perancis itu dalam tempoh tujuh hari.

Deschamps mengesahkan Jules Kounde juga akan tercicir berikutan penggantungan ekoran kad merahnya ketika seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina, minggu lalu, sementara Aurelien Tchouameni dan Thomas Lemar berjuang untuk cergas.

Jurulatih Les Bleus itu menuntut pasukannya agar lebih proaktif ketika menghadapi Finland bagi mengakhiri kemarau kemenangan.

"Dalam dua perlawanan itu (menentang Bosnia-Herzegovina dan Ukraine), kami lebih berkesan cuma nasib mungkin tidak memihak kepada kami," kata Deschamps.

"Kami menyedarinya dan esok kami perlu memadam situasi ini. Pertahanan juga penting tetapi ini adalah masa yang kurang senang atas sebab keputusannya. Kami tahu apa yang harus dilakukan untuk terus mengawal nasib sendiri.

"Pemain tidak gembira. Mereka tidak akan berpuas hati dengan keputusan ini. Kami akan melakukan segalanya untuk menamatkan keputusan seperti ini.

"Saya akan melipat gandakan usaha saya. Barisan pemain juga berfikiran sama demi meningkat prestasi dan merealisasikan hajat kami."