Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, mengesahkan Karim Benzema bersedia untuk dipertaruhkan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Kazakhstan, awal pagi esok.

Juara dunia itu menduduki tangga teratas Kumpulan D dan akan layak ke temasya Qatar 2022 sekiranya memenangi salah satu daripada dua perlawanan terakhir, iaitu sama ada Kazakhstan dan Finland.

Benzema dikeluarkan pada minit ke-83 ketika Real Madrid mengalahkan Rayo Vallecano 2-1 hujung minggu lalu, tetapi Deschamps menjelaskan anak buahnya itu berada di landasan tepat untuk beraksi buat negaranya walaupun menghadapi masalah kecil.

Dalam sidang media menjelang perlawanan, bekas pengurus Monaco dan Juventus itu yang ditanya mengenai situasi Benzema memberi jaminan kepada pemberita dengan berkata: "Dia tidak menjalani latihan penuh tetapi mengharungi beberapa sesi individu yang yang sangat baik. Kami tidak mahu mengambil risiko.

"Karim juga sedar bagaimana untuk menguruskan dirinya selepas mengalami masalah kecil di Madrid. Dia telah menyertai sesi latihan dan akan beraksi."

Deschamps juga sedang mempertimbangkan untuk memulakan pemain Bayern Munich, Kingsley Coman, dengan berkata: "Coman merupakan satu lagi pilihan tetapi ia tidak terhad kepada perlawanan ini sahaja. Dia merupakan pilihan baik untuk kesebelasan utama mahupun ketika perlawanan berlangsung.

"Ia bergantung sama ada kami dapat menguasai bola atau tidak. Ia memerlukan keseimbangan di bahagian pertahanan dan posisi lain. Dia antara salah satu pilihan kami."



Perancis akan menghadapi Kazakhstan sebagai pasukan pilihan di Parc des Princes dengan pelawat menghuni tangga tercorot apabila hanya meraih tiga mata daripada tujuh perlawanan.

Begitupun, Deschamps enggan mengambil mudah sekalipun Les Bleus menang 2-0 dalam pertemuan timbal balik Mac lalu: "Ia bukanlah satu perlawanan yang mudah. Saya sempat menyaksikan dua perlawanan terakhir membabitkan Kazakhstan. Mereka mempunyai sistem permainan yang jelas.

"Saya tidak akan bercakap tentang kelemahan mereka. Anak buah saya tahu bagaimana untuk bertahan dan kami sedar perlu berusaha bersama-sama. Pihak lawan merupakan sebuah pasukan yang tidak mudah berputus asa dan berjuang hingga ke akhir permainan.

"Kami tidak boleh memandang rendah pasukan ini dan akan menghormati mereka sebagaimana yang kami lakukan dalam perlawanan pertama."