PERANCIS 8 KAZAKHSTAN 0

Didier Deschamps memuji kemenangan bergaya Perancis selepas Kylian Mbappe memberi inspirasi kepada Les Bleus untuk membelasah Kazakhstan 8-0.


Mbappe menjaringkan hatrik dalam separuh masa pertama di Parc des Princes, awal pagi tadi, sebelum mencipta gerakan gol buat Karim Benzema, Adrien Rabiot dan Antoine Griezmann selepas rehat.

Bintang Paris Saint-Germain itu juga melengkapkan hatriknya untuk membawa Perancis ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022 dengan sentuhan menarik.

Ia adalah satu perlawanan yang penuh emosi kerana ia dilangsungkan ketika tuan rumah mengenangkan serangan pengganas yang berlaku di seluruh Paris pada 13 November 2015.

Secara keseluruhan, 130 orang terbunuh dalam insiden berasingan dengan salah satu sasaran adalah Stade de France yang pada masa itu menganjurkan perlawanan di antara Perancis dan Jerman.

Dengan penghormatan yang diberikan sebelum sepak mula, Griezmann meraikan golnya dengan mengangkat jersinya untuk menunjukkan baju lapisnya dengan tarikh "13/11/15" selain mengandungi mesej berbentuk cinta.




Pada hari yang penting dalam sejarah Perancis itu, Deschamps percaya anak buahnya memperagakan prestasi sebenar.

"Ia adalah malam bola sepak yang sangat indah walaupun kami tidak lupa bahawa ia adalah hari peringatan sempena tragedi," katanya kepada M6.

"Objektifnya adalah untuk layak tetapi selain itu, ia mengenai pendekatannya dan keseronokan pemain untuk beraksi bersama, persefahaman antara mereka, khususnya pemain di barisan depan.

"Memang bagus, semua orang menikmatinya. Ia adalah satu keputusan yang memberi ganjaran kepada semua selepas kami melakukannya dengan baik. Kami mempunyai tempo yang tepat. Risiko sentiasa ada apabila kami mengendurkan sedikit permainan tetapi kami teruskan."

Bintang perlawanan itu, Mbappe, menambah: "Perkara yang paling penting ialah layak. Kami mahu memberikan peluang kepada diri sendiri untuk mempertahankan kejuaraan.

"Malah, bagi mereka yang pernah bermain dan menjuarainya, ia tetap menjadi impian yang tidak dapat dibayangkan untuk terbabit dalam Piala Dunia. Kami menghormati permainan ini dan pihak lawan, kami mahu melukakan lawan hingga akhir permainan."

Mbappe muncul pemain pertama yang menyumbat empat gol dalam satu perlawanan untuk Les Bleus sejak Just Fontaine melakarnya pada Jun 1958 iaitu ketika menentang Jerman Barat.