Lucas Paqueta mempertahankan displin Neymar selepas bintang Brazil itu dilaporkan hadir ke sesi latihan Paris Saint-Germain (PSG) dalam keadaan mabuk sambil menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Kedua-dua pemain itu yang berseteru dalam Ligue 1 tetapi merupakan rakan sepasukan bersama Selecao untuk perlawanan terakhir peringkat kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 iaitu menentang Chile dan Bolivia.

Neymar tiba tatkala sedang melalui detik sukar di Parc des Princes apabila diejek di samping Lionel Messi selepas kelab itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

Laporan daripada RMC Sport mengatakan penyerang itu telah melanggar disiplin kelab dengan hadir ke sesi latihan dalam keadaan mabuk.

Tetapi bercakap dalam sidang akhbar pra-perlawanan, pemain tengah menyerang Lyon itu menyangkal dakwaan sedemikian sambil memuji bintang PSG tersebut sebagai seseorang yang amat profesional.

"Ia satu tindakan yang biadap kerana mereka memberikan maklumat palsu," katanya.

“Walaupun Neymar tidak pernah mengulas mengenainya tetapi saya percaya ia satu pembohongan.

"Masyarakat bercakap terlalu banyak dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami, sukar untuk menapis semua perkara seperti ini. Saya tidak percaya bulat-bulat dengan kata-kata orang lain. Saya percaya Neymar seorang yang cukup profesional.

“Neymar, adalah seorang yang hebat, amat profesional dan berbakat yang luar biasa, tanpa ragu-ragu lagi dia adalah pemain terbaik kami dalam pasukan Brazil.

"Memiliki khidmatnya adalah satu keistimewaan terutama saya apabila Neymar ada di sisi, saya akan berasa lebih bagus begitu juga dengan semua rakan sepasukan.

"Saya rasa dia juga berasakan perkara yang sama, kami saling memberikan motivasi dan ia menjadikan kami lebih mantap."