Kelayakan Piala Dunia: Neymar, Raphinha bintangi kemenangan Brazil ke atas Uruguay

Muzaffar Musa
Oktober 15, 2021 03:51 MYT
BRAZIL 4 URUGUAY 1
Brazil kembali ke landasan kemenangan untuk meneruskan pemburuan slot kelayakan ke Piala Dunia Qatar 2022 selepas Neymar dan Raphinha membintangi kejayaan menumbangkan Uruguay 4-1 di laman sendiri hari ini.
Skuad Selecao itu, yang rekod sempurna mereka dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dicalarkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Colombia hujung minggu lalu, mendahului dua gol dalam 18 minit pertama menerusi penyudah Neymar dan Raphinha, yang tersenarai dalam kesebelasan utama buat kali pertama di peringkat antarabangsa.
Raphinha kemudian menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-58 sebagai menggambarkan penguasaan penuh Brazil ke atas La Celeste sambil penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera, menjadi individu paling sibuk di atas padang bagi mengelakkan aib lebih besar buat pasukannya.
Luis Suarez kemudian merapatkan jurang menerusi sepakan percumanya pada minit ke-77, sekali gus menyaksikan Brazil, yang sebelumnya tidak dibolosi dalam enam perlawanan pusingan kelayakan dan secara keseluruhan sembilan perlawanan tanpa dibolosi di laman sendiri, telah dibocori sebanyak dua gol daripada tiga perlawanan terakhir.
Gabriel 'Gabigol' Barbosa memutlakkan kemenangan selesa Brazil dengan menanduk masuk lintangan Neymar -- yang kemudian disahkan menerusi video bantuan pengadil (VAR) -- pada empat minit terakhir.

1 - Raphinha is the first Leeds United player to score for Brazil in history. Dream. pic.twitter.com/YZYc3x0hSQ

— OptaJoao (@OptaJoao) October 15, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Neymar #Luis Suarez #Brazil #Uruguay #kelayakan Piala Dunia #Piala Dunia Qatar 2022 #Raphinha