PARAGUAY 0 BRAZIL 2

Brazil merekodkan kemenangan keenam daripada enam perlawanan pusingan kelayakan Piala dunia selepas Neymar dan Lucas Paqueta menemui sasaran bagi menewaskan Paraguay 2-0 hari ini.

Neymar memecahkan kebuntuan pada minit keempat sebelum Paqueta melengkapkan keputusan itu pada minit ketiga waktu kecederaan untuk memastikan Brazil mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam pusingan kelayakan CONMEBOL itu.

Gol ke-67 Neymar di peringkat antarabangsa -- hanya kurang 10 di belakang legenda pasukan itu, Pele -- membantu Brazil meninggalkan pencabar terdekat, Argentina, dengan enam mata untuk menduduki tangga teratas dalam laluan ke Qatar 2022.

Brazil turun menentang Paraguay selepas dipalit isu penyertaan mereka dalam Copa America hujung minggu ini, di mana skuad Selecao itu bersatu hati membantah keputusan negara berkenaan menjadi tuan rumah kejohanan peringkat benua itu.

Di atas padang, pasukan kendalian Tite itu langsung tidak kelihatan terjejas dan segera mempamerkan mutu persembahan tertinggi, terutama melalui Neymar.

Neymar meletakkan Brazil di depan pada minit keempat menerusi penyudah kemasnya, tidak lama selepas Richarlison merembat voli kencang selepas menerima hantaran lintang Gabriel Jesus.

Ia satu petanda baik buat Brazil, di mana berdasarkan rekod sebelum ini, juara bertahan Copa America itu tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan terakhir ketika penyerang Paris Saint-Germain itu menjaringkan gol di peringkat kelayakan Piala dunia.

Percubaan jarak jauh pertahanan Paraguay, Omar Alderete, hampir dapat menyamakan kedudukan pada minit kelapan tetapi penjaga gol Brazil, Ederson, bertindak tangkas menyelamatkan keadaan.

Richarlison, yang hampir menyumbat masuk gol kedua Brazil pada minit ke-12, melakukan voli separa yang menerjah jaring dalam waktu kecederaan babak pertama tetapi jaringannya itu dibatalkan selepas dia terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid.

Rentak permainan kian menurun dalam babak kedua. Marquinhos hampir dapat menggandakan jaringan Brazil tetapi tandukannya pada minit ke-55 sedikit tersasar.

Paqueta kemudian memastikan rekod kemenangan bersih Brazil berterusan apabila menjaringkan gol lewat permainan pada minit ke-93.

Brazil seterusnya akan berdepan Venezuela dalam perlawanan pembukaan Copa America hujung minggu ini manakala Paraguay pula akan bertemu Bolivia sehari kemudian.