Jamal Musiala tidak perlu mengubah pendekatan permainannya ketika pergi bersama Jerman, tegas Hansi Flick selepas pemain remaja Bayern Munich itu menerima panggilan antarabangsa pertamanya.

Selepas terpilih untuk menyertai Jerman berbanding England yang diwakilinya di peringkat remaja, Musiala menjadi pilihan Joachim Low untuk memperkuatkan Die Mannschaft bagi menghadapi Iceland, Romania dan Macedonia Utara dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Musiala telah membuat 18 penampilan dalam Bundesliga pada musim 2020-21 -- hanya empat pemain yang lebih muda daripadanya (18 tahun, 21 hari) telah beraksi lebih banyak perlawanan dalam lima liga utama Eropah musim ini.

Mencetak jaringan dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) 4-1 ke atas Lazio bulan lalu, pemain lincah itu menonjolkan ketenangan yang mengagumkan bagi seorang pemain mentah sepertinya.

Lantas, Flick percaya sikap yang sama akan menjadi kunci buat Musiala dalam kariernya di peringkat antarabangsa.

"Dia harus mendekatinya dengan cara yang sama ketika dia melakukan sesuatu dengan kami, tetap tenang. Dia pemain yang luar biasa," kata Flick dalam sidang media menjelang pertembungan Bayern dengan Stuttgart dalam aksi Bundesliga malam ini.

Bayern telah diundi berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam suku akhir UCL setelah mengatasi Lazio 6-2 secara agregat untuk melolosi peringkat 16.

Ia ibarat ulangan perlawanan akhir musim lalu sementara Manchester City atau Borussia Dortmund akan menanti mereka di peringkat separuh akhir sekiranya mara.




Begitupun, pertembungan ulangan dengan PSG bukan tumpuan kelab itu ketika ini.

"Fokus kami adalah menentang Stuttgart, ia adalah yang pertama dan paling utama," katanya mengenai keputusan undian malam tadi.

"Ini akan menjadi perlawanan ke-18 kami dalam tempoh 11 minggu.

"Dalam waktu yang singkat ini, kami telah mempamerkan banyak persembahan yang jitu termasuk dalam perlawanan terakhir.

"Sekarang kami perlu menghadapi Stuttgart, kemudian menghadapi aksi getir di Leipzig. Kami masih mempunyai masa untuk membuat persiapan ke Paris.

"Manchester City ketika ini adalah salah sebuah pasukan yang paling tekal di Eropah, jadi ia merupakan cabaran buat kami dan Dortmund. Kami beraksi dalam UCL atas faktor itu.

"Tetapi kami dan Dortmund mempunyai peluang untuk melangkah lebih jauh.

"Sangat penting untuk beraksi kedua-dua perlawanan itu di tahap tertinggi. Tentu saja ia adalah lawan yang sukar seperti yang anda lihat dalam final. Tetapi kami juga mempunyai kualiti yang luar biasa."