Ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick, memuji sentuhan Thomas Muller untuk menyerahkan lilitan ketua pasukan kepadanya menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dengan Armenia, awal pagi esok.

Penyerang Bayern Munich itu muncul pemain yang memiliki penampilan tertinggi dalam skuad berkenaan ketika ini dan mendahului Jurgen Klinsmann sebagai pemain keenam terbanyak untuk kemunculan bersama Jerman menerusi penampilan ke-109 ketika menentang Liechtenstein, kelmarin, dengan menghasilkan dua gol dalam kemenangan 9-0.

Muller pernah beberapa kali memakai lilitan lengan itu untuk Jerman, tetapi ini adalah kali pertama di bawah Flick yang percaya kehadiran pemain berusia 32 tahun tersebut di dalam mahupun di luar padang menjadikannya layak menerima penghormatan berkenaan.

"Thomas bukan seseorang yang gemar menonjolkan dirinya, dia lebih suka menyokong pasukan dan merangsang rakan-rakannya," kata Flick menjelang perlawanan menentang Armenia.

"Dia juga sangat penting di luar padang kerana terus mendorong pasukan.

"Dia seorang pemain yang sangat penting buat kami dan dia akan bertindak sebagai ketua pasukan ketika kami menentang Armenia. Saya gembira memilikinya sebagai pemain kerana dia sangat-sangat berharga."






Kapten tetap, Manuel Neuer, terpaksa direhatkan dan tidak akan menyertai pasukan kebangsaan di samping Marco Reus, Leon Goretzka dan Julian Draxler sementara Antonio Rudiger menjalani penggantungan.

Sehubungan itu, Muller bakal menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan sementara Marc-Andre ter Stegen berpeluang untuk tampil di depan pintu gol dalam usaha Jerman menamatkan kempen kelayakan dengan bergaya selepas memenangi lapan daripada sembilan perlawanan setakat ini untuk mengetuai Kumpulan J dengan kelebihan sembilan mata.

"Marc-Andre ter Stegen dan Kai Havertz akan memulakan perlawanan," sambung Flick.

“Kami sudah menunjukkan kualiti dan mentaliti pasukan ini dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Armenia sangat ampuh dalam serangan balas jadi kami perlu berwaspada di bahagian pertahanan. Sudah tentu sasaran kami adalah untuk menamatkan tahun ini dengan kemenangan."

Seorang lagi pertahanan, Christian Gunter, juga berkesempatan untuk mengukuhkan tempatnya dalam skuad akhir ke Piala Dunia tahun depan.

“Bagi saya, ia mengenai persembahan yang baik untuk pasukan,” kata Gunter.

"Saya merupakan sebahagian daripada pencabar sebenar untuk mendapatkan tempat dan saya mahu memberikan Hansi satu keputusan rumit ketika menamakan barisan pasukan kebangsaan kelak."