Lionel Messi percaya Argentina perlu terus mempamerkan peningkatan daripada kejayaan mereka memenangi Copa America, tetapi bintang itu memberikan penghargaan kepada Emiliano Martinez kerana membantu pasukan melakar kemenangan ke atas Uruguay.

Messi menemui jaringan bersama-sama Rodrigo De Paul dan Lautaro Martinez ketika Albiceleste melakar kemenangan 3-0 dalam saingan kelayakan Piala Dunia untuk berada enam mata di belakang Brazil.

Skuad kendalian Lionel Scaloni kini tidak tewas 24 perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk kemenangan 1-0 ke atas Brazil dalam final Copa America dan 10 perlawanan tanpa tewas dalam saingan kelayakan Qatar 2022.

Bagaimanapun, perjalanan perlawanan bertemu Uruguay menjadi berbeza jika Emiliano Martinez tidak menafikan dua percubaan Luis Suarez, penjaga gol Aston Villa itu menafikan enam percubaan secara keseluruhan di El Monumental.

Messi berkata, "Dia adalah asas kepada kami. Apabila berada dalam tekanan, dia sentiasa hadir menghasilkan sesuatu. Dia melakukannya sekali lagi dalam perlawanan ini. Kami mengetahui bahawa kami memiliki salah seorang penjaga gol terbaik dunia.

"Uruguay memiliki peluang terhidang untuk menghasilkan jaringan, walaupun kami dalam kawalan. Itulah Uruguay, mampu menghasilkan sesuatu tanpa diduga."

Argentina kini tidak tewas di laman sendiri di bawah kendalian Scaloni dalam tujuh perlawanan semua pertandingan.