Roberto Mancini "benar-benar yakin" Itali boleh menemui semula kelebihan mereka dan mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2022 selepas seri tanpa jaringan dengan Ireland Utara sekaligus menafikan mereka layak secara automatik.

Juara Eropah itu mara ke perlawanan terakhir Kumpulan C di Windsor Park awal pagi tadi dengan kelebihan perbezaan gol ke atas Switzerland.

Tetapi Ireland Utara memberi bantuan yang besar kepada Switzerland, mengecewakan pasukan Azzurri yang tidak dapat mencari jalan mengatasi penjaga gol Bailey Peacock-Farrell.

Switzerland tidak berdepan masalah kerana mereka membelasah Bulgaria 4-0 untuk mendahului Itali dan memastikan tempat mereka dalam kejohanan di Qatar tahun depan.

Itali hanya menemui sasaran separuh daripada 12 percubaan namun mereka bernasib baik selepas Conor Washington gagal menggunakan peluang terhidang untuk memberikan kemenangan buat Ireland Utara, Leonardo Bonucci menepis keluar bagi memastikan Itali menamatkan saingan kelayakan dengan enam kali tidak dibolosi.


Azzurri mesti melepasi separuh akhir dan akhir play-off untuk mengelak gagal layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut, tetapi Mancini percaya mereka akan menyelesaikan tugas itu Mac nanti.

Dia berkata: "Walaupun mengawal perlawanan, kami bergelut untuk menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan gol lebih awal malam ini. Sungguh memalukan kerana kami sepatutnya menamatkan sesuatu lebih awal dalam kumpulan ini.

“Kami perlu mencari semula apa yang membezakan kami sehingga kini dan kekal tenang sepenuhnya sehingga Mac.

"Kami sepatutnya menang menentang Bulgaria dan mempunyai dua penalti menentang Switzerland. Ini adalah perlawanan yang mungkin berakhir memihak kepada kami. Saya benar-benar yakin tentang play-off."

Sejak menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti pada final Euro 2020 di Wembley, pasukan Mancini hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan mereka, dengan hanya satu daripada kemenangan itu dalam kelayakan.