Luis Enrique mahu penyokong mempengaruhi prestasi Sepanyol ketika menjadi tuan rumah kepada Sweden untuk menutup perjuangan mereka di peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2022 dengan gemilang, awal pagi esok.

La Roja menduduki tangga teratas Kumpulan B selepas menewaskan Greece 1-0, kelmarin selepas mengambil kesempatan daripada kekalahan mengejut 0-2 Sweden di Georgia.

Sepakan penalti daripada Pablo Sarabia dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan Sepanyol di Athens dan ini bermakna mereka berpeluang menentukan nasib sendiri apabila hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir di Qatar tahun depan.

Bercakap sebelum perlawanan penting di Seville itu, Luis Enrique berkata: "Adalah sangat penting untuk memberi tumpuan kepada kesukaran yang boleh kami jangkakan. Mereka bertahan dengan sangat baik. Saya berharap peminat dapat membantu kami pada saat-saat sukar.

"Ia tidak akan menjadi pesta sehinggalah permainan tamat. Tugas kami adalah untuk menutup kempen kelayakan dengan kemenangan tetapi mereka merupakan pesaing dan ia bukan mudah."

Sepanyol dan Sweden seri 0-0 di peringkat kumpulan Euro 2020 tetapi pada September lalu, seteru itu meraih kemenangan 2-1 dalam pertembungan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia, tetapi Luis Enrique tidak bercadang untuk membuat rombakan.

"Saya tidak akan mengubah apa-apa yang luar biasa. Sweden bertahan dengan sangat baik dan memiliki kepantasan yang boleh mencetuskan masalah kepada lawan.

"Dalam Kejohanan Eropah, kami tampil lebih baik dan saya rasa kami tidak patut tewas di Stockholm. Tetapi bola sepak tidak tahu tentang merit atau keadilan, ia bersandarkan keputusan semata-mata. Itulah sebabnya kami memerlukan penyokong kerana dengan mereka, kami menjadi lebih kuat dan lawan pula menjadi lebih lemah."




Ketua jurulatih Sepanyol itu juga ditanya mengenai kelibat Zlatan Ibrahimovic selain sama ada dia lebih gemar melihat penyerang legenda itu di atas padang.

"Itu masalah anda, Sweden dan juga jurulatihnya, bukan masalah saya. Saya tidak pernah bertemu Ibra. Saya tidak mengenalinya," tambahnya.

"Dengan kehadiran Ibra, permainan lawan akan bertambah baik tetapi itu hanya sebahagian daripada serangan. Ibra mampu meningkatkan permainan Sweden tetapi kita perlu lihat sama ada dia akan diturunkan.

"Jika dia beraksi maka kami akan cuba untuk merantainya tetapi secara100 peratus ia adalah mustahil."