Liverpool menolak untuk melepaskan Mohamed Salah bagi mewakili Mesir bagi kelayakan Piala Dunia bertemu Angola berikutan arahan kuarantin yang perlu dijalaninya sebaik kembali.

Malam tadi, Persatuan Bola Sepak Mesir mengeluarkan satu kenyataan bahawa Liverpool tidak akan membenarkan Salah menyertai tugasan bersama negaranya pada 2 September depan selain menghadapi Gabon (5 September).

"Persatuan Bola Sepak (FA) Mesir telah menerima sepucuk surat daripada Liverpool FC yang meminta maaf kerana tidak mampu melepaskan pemainnya, Mohamed Salah, untuk menyertai pasukan kebangsaan dalam kem latihan pusat berikutnya, termasuk menghadapi Angola di Kaherah dan Gabon di Franceville dalam pusingan pertama dan kedua kelayakan Piala Dunia untuk benua Afrika," kata kenyataan itu.





"Surat kelab Inggeris itu merujuk kepada langkah pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan di England berikutan mewajibkan individu daripada beberapa negara menjalani kuarantin wajib selama 10 hari sejurus kembali ke England.

"Dalam surat ini, kelab Inggeris itu juga menyatakan harapan agar konfederasi Mesir memahami bahawa ia terpaksa dilakukan memandangkan pemain yang dikuarantin dalam tempoh ini boleh mempengaruhi fizikal mereka selain ketidakpastian syarat yang ditentukan oleh pihak berkuasa England. Liverpool FC juga dilaporkan bercadang mengambil tindakan yang sama terhadap sebilangan pemain import yang lain."

Oleh kerana Mesir berada dalam senarai merah perjalanan Kerajaan England, Salah harus dikuarantin selama 10 hari sebaik kembali, ini bermakna dia akan terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Leeds United pada 12 September depan.

Namun, kelab itu dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk melepaskan Salah ke Franceville bagi pertemuan dengan Gabon memandangkan ia tiada dalam senarai kuarantin yang ditetapkan United Kingdom (UK). Jadi penyerang tersebut tidak perlu dikuarantin selepas melawat negara berkenaan.

Liverpool dan beberapa ahli Persatuan Kelab Eropah (ECA) yang lain dikatakan sedang memohon pengecualian untuk membolehkan pemain mereka mengelak daripada kuarantin, manakala FA Mesir meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk berusaha menyelesaikan masalah itu.

Tanpa pengecualian, The Reds juga dijangka akan melakukan hal yang sama dengan menyekat pemain antarabangsa Brazil, Alisson, Roberto Firmino dan Fabinho daripada melaporkan diri bersama skuad Selecao.

Brazil kekal dalam senarai merah yang ditetapkan UK berikutan muncul salah sebuah negara yang paling teruk terjejas oleh pandemik itu. Pasukan bimbingan Tite tersebut dijadual mengunjungi Chile sebelum menjadi tuan rumah kepada Argentina pada 5 September depan.