Dejan Kulusevski berkata tempohnya di Tottenham ibarat meniupkan nafas baru dalam kariernya selepas melalui detik yang mengecewakan bersama Juventus.

Penyerang serba boleh itu menyertai Tottenham pada Januari lalu dengan perjanjian pinjaman awal selama 18 bulan dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan wajib membelinya jika objektif tertentu tercapai.

Pemain antarabangsa Sweden itu menandatangani kontrak dengan Juve pada Januari 2020 dan menghabiskan baki musim itu sebagai Pemain Muda Terbaik Serie A setelah dipinjamkan ke Parma tetapi pelantikan semula Massimiliano Allegri membataskan kelibatnya.

"Senario boleh berubah dengan mendadak bagi seseorang pemain," katanya kepada pemberita menjelang separuh akhir play-off kelayakan Piala Dunia membabitkan Sweden menentang Republik Czech, awal pagi esok.

"Terdapat banyak elemen di Juventus yang tidak berfungsi dan ia sangat mengecewakan.

"Saya beraksi sekali sebulan dan sentiasa diturunkan di posisi berbeza. Badan saya tidak berasa sedap, saya tidak berasa kuat secara fizikal.

"Di Tottenham, ada nafas segar. Saya mempunyai hubungan yang lebih baik dengan peengurus, saya dapat dilatih dengan lebih baik dan tahap fizikal saya bertambah baik."