Louis van Gaal membandingkan tahap keyakinan pasukan Belanda yang dikemudinya seperti bintang Formula Satu (F1), Max Verstappen.

Belanda akan menentang Turki dalam perlawanan getir kelayakan Piala Dunia yang mampu mempengaruhi kedudukan Kumpulan G.

Skuad Oranje hanya semata dipisahkan dengan seteru itu selepas membelasah Montenegro 4-0, lantas Van Gaal gembira dengan pasukannya sejak mengambil alih peranan berkenaan daripada Frank de Boer.

Van Gaal menyamakan tahap keyakinan anak buahnya seperti pemandu Belanda, Verstappen, yang mengatasi juara bertahan F1, Lewis Hamilton, dengan kejayaannya menawan Grand Prix Belanda minggu lalu.

"Perkara paling penting yang juga dimiliki Max adalah keyakinannya terhadap kemampuan diri sendiri," kata Van Gaal kepada wartawan.




"Keyakinan yang sangat tinggi dan anda baru mendengar daripada Memphis Depay bahawa dia juga mempunyai keyakinan yang sangat kuat terhadap pasukan.

"Saya gembira dengan perkara ini kerana saya juga mempunyai keyakinan tinggi. Jadi, kami semua berada dalam gelombang yang sama."

Selepas diikat 1-1 oleh Norway dalam perlawanan pertama kendalian Van Gaal dalam penggal ketiganya, Oranje menghidupkan peluang mereka dalam kelayakan Piala Dunia dengan kejayaan bergaya ke atas Montenegro di Philips Stadion, kelmarin.

Memphis Depay membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti dan menambah gol kedua ketika sejam usia perlawanan untuk mereka menikmati kemenangan ketujuh berturut-turut.

Buat julung kalinya sepanjang 70 perlawanan, Depay menyumbat gol berganda buat negaranya dalam satu perlawanan untuk penggempur Barcelona itu melebarkan jumlah golnya kepada 30.

Mengenai Turki, Van Gaal menambahkan: "Jurulatih Turki, Senol Gunes telah membentuk pasukannya untuk beraksi dengan corak yang sangat berdisiplin. Sangat bagus apabila Turki bermain dengan disiplin. Sebenarnya mereka memiliki beberapa pemain licik yang mewakili kelab besar.

"Hanya dua pemain yang beraksi di Turki yang diturunkan, itulah yang kami jangkakan."