ENGLAND 5 ALBANIA 0

Cara Harry Maguire meraikan kemenangan England dalam kelayakan Piala Dunia ketika England menentang Albania, awal pagi tadi, disifatkan sebagai memalukan oleh Roy Keane yang beranggapan pertahanan itu bertindak balas kerana diaibkan di Manchester United.


Ketua pasukan United itu menanduk masuk hantaran Reece James untuk jaringan pertama daripada lima gol yang disumbat skuad The Three Lions dalam separuh masa pertama di Wembley itu.

Empat lagi gol terhasil menerusi hatrik Harry Kane selain satu gol daripada Jordan Henderson.

Bek tengah tersebut yang muncul pertahanan termahal ketika berpindah pada 2019 telah menerima kritikan hebat musim ini terutama kelibatnya sewaktu menentang Leicester City, Liverpool termasuk dalam kunjungan ke Atalanta.

Dia membalas kritikan yang dilemparkan dengan menekup sebelum menyumbat jari ke dalam telinganya.

Bagaimanapun, keputusan itu membangkitkan kemarahan bekas kapten The Red Devils, Keane, yang memenangi 13 trofi utama di Old Trafford dan merupakan tonggak penting ketika menjuarai tiga trofi utama pada 1998-99.

"Apabila seorang pemain menjaringkan gol dan meletakkan tangannya di telinga, dia seakan memberi isyarat untuk menutup pengkritiknya. Tetapi pada saya ia tindakan yang memalukan," kata Keane di ITV.

"Dia mempamerkan prestasi yang memalukan di Man United sejak beberapa bulan lalu. Dia fikir dengan menjaringkan gol maka dia akan menutup mulut pengkritiknya. Ia memalukan."



Dalam 13 penampilannya di peringkat kelab musim ini, Maguire telah melakukan tiga kesilapan besar -- lebih kerap daripada mana-mana rakan sepasukannya dan yang paling banyak dalam kalangan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia juga melakukan kesilapanapabila kehilangan bola sebelum jaringan Youri Tielemans terhasil untuk kelabnya tewas 2-4 kepada Leicester pada bulan lalu.